NISSAN : Enriching people's lives
Future Science and Technology, ease our life
Research, development and invention in science and technology company
Showing posts with label Hukum. Show all posts

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih mengurniakan nikmat iman dan islam pada diri kita sehingga ke hari ini. Berdoalah kepada Allah supaya ditetapkan hati kita dengan agama Allah ini. Pada post kali ini, alhamdulillah, ana diberi peluang oleh Allah untuk menulis sedikit mengenai bulan Ramadhan, bulan yang mulia ini. InsyaAllah ana akan menceritakan mengikut pengetahuan ana mengenai kemuliaan bulan Ramadhan ini dan puasa di bulan Ramadhan yang diwajibkan oleh seluruh umat Islam di dunia ini. Sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan ataupun fakta yang tidak tepat, harap diperbetulkan. Sama-sama kita berkongsi ilmu.

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN AL-MUBARAK !

Kedatangan bulan Ramadhan 1434H pada tahun ini akhirnya tiba. Bersyukurlah kepada Allah kerana masih diberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan ini yang hanya setahun sekali datang. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat mulia kerana di dalam bulan Ramadhan ini, Allah menjanjikan pelbagai ganjaran kepada umat Islam yang mengisi sebaik mungkin pada bulan Ramadhan ini. Allah menjanjikan dalam bulan Ramadhan akan terjadinya malam Lailatul Qadar yang merupakan satu malam yang lebih baik dari seribu malam. Di dalam bulan Ramadhan juga, berlakunya peristiwa-peristiwa penting dalam Islam. Al-Quran juga diturunkan di dalam Ramadhan. Allah juga telah mewajibkan seluruh umat Islam berpuasa sebulan di dalam bulan Ramadhan ini yang juga merupakan rukun Islam yang ke-3 selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat fardhu lima waktu. Terdapat banyak huraian mengenai kemuliaan bulan Ramadhan ini dan ganjaran yang akan diperoleh sepanjang bulan Ramadhan ini. Jadi, marilah sahabat-sahabat ana sekalian, kita menghidupkan Ramadhan kali ini dan isilah dengan sebaik mungkin, agar kita dapat melahirkan rasa kehambaan kepada Allah dan menjadi orang yang bertaqwa yang bukan sahaja hanya di dalam bulan Ramadhan, tetapi juga di bulan-bulan yang lain. InsyaAllah.

Allah telah mewajibkan berpuasa di dalam bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Apakah yang dimaksudkan dengan PUASA ?

Puasa, makna dari segi bahasa adalah menahan diri dari lapar dan dahaga.
Dari segi istilah, puasa bermaksud menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari dan disertakan dengan niat.

Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan adalah WAJIB hukumnya bagi seluruh umat Islam berdasarkan ayat Al-Quran :


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِى أُنزِلَ فِيهِ القُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ العُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


Maksudnya : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadaan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat pertunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
( Al Baqarah : 185 )

Berdasarkan perkataan "فَلْيَصُمْهُ" , ulama telah menghukumkan bahawa puasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi setiap individu muslim kerana perkataan tersebut adalah berbentuk suruhan yang wajib mengikut kaedah nahu bahasa arab. Maka, hukum puasa adalah wajib bagi setiap muslim yang mukallaf di bulan Ramadhan.

Kalau nak cerita mengenai puasa ini memang panjang, ana sendiri pun tak mampu lagi nak hurai lebih pasal puasa ini. Tetapi sebagai seorang muslim yang mukallaf, kita kene juga tahu syarat wajib puasa, syarat sah puasa dan sebagainya. InsyaAllah ana akan nyatakan secara ringkas berkaitan perkara tersebut.

Syarat Wajib Puasa :
1. Berakal
2. Baligh
3. Mampu/Tidak Uzur

Syarat Sah Puasa :
1. Islam
2. Berakal
3. Suci daripada haid dan nifas

Rukun Puasa :
1. Berniat pada malam harinya
2. Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari

Sunat puasa :
1. Makan sahur serta melambatkannya
2. Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
3. Menjamu orang-orang berbuka puasa
4. Solat Tarawih pada malam harinya
5. Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
6. Beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan untuk mendapatkan malam al-Qadar atau Lailatul Qadar

Perkara yang membatalkan puasa :
1. Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
2. Muntah dengan sengaja
3. Bersetubuh
4. Mengeluarkan air mani dengan sengaja
5. Keluar darah haid atau nifas
6. Hilang akal (seperti gila)
7. Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari
8. Murtad (keluar dari Islam)
9. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja)

Mereka yang diizinkan berbuka :
1. Orang yang sakit
2. Orang yang berkerja buruh
3. Orang yang dalam musafir (perjalanan)
4. Orang tua yang sudah lemah
5. Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak

Dengan huraian ringkas ini, insyaAllah kita dapat melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dengan sempurna. Lagipun, ibadah puasa ini juga telah diajarkan kepada kita sejak di sekolah dulu. Jadi, berusahalah untuk mengisi Ramadhan kali ini dengan sebaik mungkin dengan mempertingkatkan dan memperbanyakkan amal ibadah. Akhir kalam, SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1434H !

Wassalamualaikum w.b.t


Read more

Couple. . . ? ? ?

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana masih mengizinkan kita untuk hidup di atas muka bumi Allah ini. Gunalah nikmat hidup ini untuk menunaikan ibadah kepada-Nya dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Pada post kali ini, ana ingin berkongsi sedikit pendapat dan menerangkan kepada antum/antunna mengenai gejala 'couple' dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Malaysia.

Umumnya, semua orang sudah mengetahui maksud 'couple' itu. Pekataan 'couple' ini mempunyai banyak maksud dan maksud yang paling utama adalah menunjukkan pasangan ataupun sepasang. Ia menunjukkan sepasang manusia ataupun sepasang sesuatu benda. Tetapi dalam konteks gejala 'couple' yang semakin berleluasa dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia ini menunjukkan sepasang kekasih yang saling suka menyukai antara mereka sebelum mereka berkahwin. Perbuatan 'couple' ini kebanyakannya melibatkan pemuda-pemudi ataupun para remaja yang berumur melebihi 15 tahun. Tetapi kini, gejala 'coupel' semakin merebak sehingga para pelajar yang masih bersekolah rendah turut terlibat dalam gejala ini. 'Couple' ini sudah menjadi trend di dalam masyarakat kita hari ini dalam kalangan para remaja. Mereka akan mencari pasangan-pasangan mereka sama ada lelaki mencari perempuan ataupun perempuan mencari lelaki untuk dijadikan sebagai kekasih mereka. Malah, ada juga yang sampai berani mengisytiharkan diri mereka sebagai pasangan yang sedang bercinta. Siap ada orang yang menyokong lagi. Astaghfirullahal'azim.

Adakah antum/antunna semua tahu apakah hukum 'couple' ini..??
Kebanyakan daripada antum/antunna sudah mengetahui hukum yang sebenar dan ada juga yang masih lagi keliru mengenai hukum 'couple' ini. Terdapat ramai yang menceritakan mengenai gejala dan hukum 'couple' ini di dalam blog-blog dan website-website mereka. Ada yang mengatakan bahawa hukumnya haram dan ada juga yang mengatakan tidak haram. Setiap daripada mereka ada hujah-hujah yang tersendiri. Sehubungan dengan itu, pada post kali ini, ana ingin melontarkan sedikit buah fikiran ana mengenai gejala dan hukum 'couple' ini walaupun ana tahu yang ana masih lagi muda. Oleh itu, ana memohon kepada antum/antunna untuk menegur dan memperbetulkan sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan yang ana lakukan sepanjang post ini. Semoga kita mendapat manfaat bersama.

Baiklah.
Berdasarkan pengetahuan dan pembacaan ana, dapatlah ana simpulkan bahawa hukum 'couple' itu diambil oleh kebanyakan ustaz-ustaz berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam ayat Al-Quran:

" Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk "
( Surah Al-Isra', ayat 32 )


Di dalam ayat tersebut, Allah telah melarang umat Islam supaya jangan mendekati zina. Apatah lagi kalau melakukan zina. Sudah pasti Allah melarang dengan sekeras-kerasnya kerana perbuatan ini akan merosakkan keturuna umat Islam. Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, dapatlah kita pastikan bahawa 'couple' itu merupakan sesuatu perbuatan yang boleh mendekati zina dan hukumnya adalah HARAM. Buktinya kita dapat lihat apabila sepasang kekasih yang sedang bercinta itu ataupun yang sedang 'couple' itu, pada mulanya mereka hanya akan bermesej-mesej melalui handphone mereka. Selepas itu, mereka akan mula keluar bersama-sama berdua-duaan ke tempat-tempat yang tertentu. Selepas itu, berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan sesama mereka, berpeluk-pelukan, bercium dan akhirnya jatuh ke kancah maksiat zina. Apabila si perempuan mengandung, si lelaki tidak mahu bertanggungjawab. Jadi, si perempuan mengambil keputusan untuk membuang bayi tersebut ataupun membunuh bayi tersebut.
Tidakkah antum/antunna nampak kejam perbuatan ini..??
Sudahlah dosa berzina dia dapat, dosa membunuh bayi yang tidak bersalah itu pun dia dapat. Sungguh berat azab yang bakal menimpa jika mereka tidak bertaubat. Masya-Allah. Semoga kita tidak terlibat dalam dosa ini. Antumn/antunna nampakkan..??
'Couple' itu merupakan pembuka jalan yang membawa kepada zina Sebab itu, kebanyakan menyatakan hukum 'couple' ini adalah haram.

Namun begitu, ada juga yang menjawab kononnya mereka hanya bermesej-mesej dalam handphone sahaja. Katanya mereka tidak pernah keluar berdua-duaan, berpegangan tangan ataupun bersentuhan. Mereka hanya 'couple' secara mesej sahaja. Jadi, mereka menganggap mereka tidak terjebak dalam kancah maksiat zina ini. Persoalan ana, yakinkah kita mampu menahan godaan syaitan?
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, sabda Nabi Muhammad SAW maksudnya:
" Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti dan tidak menuruti.. "
( Hadis Nabi SAW )

Jawapan bagi pernyataan mereka tadi seperti di bawah ini. Cubalah antum/antunna renung-renungkan.

  • Orang yang sedang ber'couple' ini tidak mungkin menundukkan pandangan terhadap kekasihnya.
  • Orang yang sedang ber'couple' ini biasanya berdua-duaan dengan pasangan kekasihnya, baik di dalam ataupun di luar rumah.
  • Perempuan akan bersikap manja dan mendayukan suaranya saat bersama kekasihnya.
  • Orang yang sedang ber'couple' ini akan membuatkan mereka saling menyentuh antara lelaki dan perempuan walaupun hanya sekadar berjabat tangan.
  • Orang yang sedang ber'couple' ini tidak akan terlepas daripada selalu membayangkan orang yang dicintainya dan inilah dinamakan zina hati.
Baiklah. Zina hatilah yang ramai tidak tahu. Membayangkan orang yang dicintainya dan perasaan rindu pada kekasihnya memang tidak dapat dielakkan oleh mereka yang sedang ber'couple' ini. Jadi, jangan menganggap bahawa mereka tidak terjebak dengan zina. Zina hati sudah tentu mereka akan lakukan.
Bukankah begitu antum/antunna..??

Tetapi, ada juga yang masih tidak puas lagi dengan pernyataan ini mengatakan bahawa bukankah fitrah manusia itu saling suka menyukai antara lelaki dan perempuan?
Jadi, tidak salahlah ber'couple'.
Betulkah begitu..??
Menjawab sahaja mereka ini.
Yela, mereka mahu juga ber'couple'.
Baiklah.
Memang benar Allah telah menjadikan fitrah manusia itu ingin disayangi dan menyayangi. Memang tidak dinafikan bahawa fitrah manusia, yang lelaki akan tertarik dengan perempuan dan yang perempuan akan tertarik dengan lelaki. Tetapi bukanlah dengan cara ber'couple'. Islam telah menggariskan panduan dalam menyalur fitrah manusia ini ke jalan yang diredhai Allah iaitu dengan cara berkahwin. Berkahwinlah jikalau antum/antunna sudah mampu dan berpuasalah jika antum/antunna tidak mampu kerana berpuasa itu dapat menahan nafsu kita.
Ummi ana pernah memberi nasihat kepada ana semasa ana meningkat remaja. Ummi ana memberitahu bahawa zaman remaja nanti, sudah tentu lelaki akan mempunyai perasaan terhadap perempuan dan perempuan akan mempunyai perasaan terhadap lelaki. Ummi ana sendiri tidak menafikannya. Cuma ummi ana sudah berpesan kepada ana sekiranya terdetik di dalam hati kita perasaan terhadap seseorang yang berlainan jantina, maka ucaplah Astaghfirullahal'azim dan mintalah perlindungan daripada Allah kerana ianya merupakan panahan syaitan yang mendorong manusia melakukan dosa. Dengan ini, Allah akan menjadi pelindung kita dan menghilangkan perasaan itu. Semoga nasihat ini bermanfaat kepada antum/antunna.

Perkahwinan merupakan benteng zina
Namun begitu, ada juga sesetengah yang ber'couple' ini menyatakan mereka ber'couple' hanya untuk mengenali antara satu sama lain sebelum mereka berkahwin dan ada yang menganggap bahawa ber'couple' ini merupakan mereka sedang bertunang.
Kalau begitu, mengapa lepas ber'couple', mereka bertunang pula..??
Tadi mereka kata 'couple' itu sama dengan bertunang. Ini yang mengelirukan ana.
Persoalan ana adakah 'couple' dan tunang itu sama..??
Adakah ini menjadi lesen mereka untuk bebas bersama-sama dengan pasangan mereka..??
Pada pendapat ana, 'couple' dan tunang adalah berbeza. Tengok ejaan dan bahasa pun sudah berbeza. Ini kerana 'couple' itu tidak mempunyai ikatan yang sah dan mudah untuk bertukar-tukar pasangan manakala tunang pula mempunyai ikatan yang sah dan terdapat persetujuan di antara dua pihak keluarga serta memang pasti mereka akan berkahwin selepas itu. Jarang yang tidak dapat meneruskan perkahwinan selepas bertunang. Bertunang merupakan satu medium bagi lelaki dan tunangnya itu untuk mengenali lebih dekat. Tetapi, bertunang yang dilakukan zaman sekarang amat bercanggah dengan syariat Islam. Oleh sebab mereka dah mempunyai ikatan pertunangan yang sah, senang-senang je mereka keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan dan macam-macam lagi. Ini akan jadi pertunangan ini haram. Bertunang bukan lesen untuk melakukan semua itu. Hanya akad nikah yang sah sahaja menjadi lesen untuk melakukan perkara tersebut. Semasa bertunang, sekiranya lelaki ingin berjumpa dengan perempuan, tunangannya itu, maka perempuan tersebut mestilah ditemani oleh ahli keluarganya dan berjumpa hanya sekadar keperluan sahaja. Bertunang menunjukkan bahawa perempuan sudah di'cop' dan tidak boleh dirampas oleh lelaki lain. Itulah maksudnya. Bukan sebagai lesen untuk keluar berdua-duaan.

Sungguhpun begitu, bagi sesiapa yang masih tidak berpuas hati lagi dengan pendapat ini, ana ingin mengeluarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud:

" Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka "
( Hadis Riwayat Imam Abu Daud )

Antum/antunna tahu apa kaitannya dengan hukum ber'couple' ini..??
Ya.
Dari manakah asal istilah 'couple' itu..??
Sudah tentu antum/antunna tahu bahawa istilah 'couple' itu berasal daripada musuh Islam. Yahudi dan Nasrani sengaja mewujudkan istilah ini bagi merosakkan akhlak remaja-remaja Islam.
Tidakkah antum/antunna rasa begitu..??
Mereka memperdayakan remaja-remaja Islam dengan membawa masuk gejala ini dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Malaysia dan memperlihakan kebaikan 'couple' ini sedangkan kesan disebaliknya amatlah membimbangkan. Adakah antum/antunna mahu termasuk dalam golongan mereka..?? Jikalau tidak mahu, maka ana nasihatkan supaya berhentilah dan bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Tidak terlambat lagi untuk kita berubah ke arah yang lebih baik. Jadi, marilah bersama-sama membanteras gejala ini untuk menyelamatkan remaja-remaja Islam di luar sana. Jikalau antum/antunna setuju dengan pendapat ana ini, maka sebarkanlah kepada semua orang supaya mereka tahu akan hal ini. Semoga Allah merahmati dan memberi ganjaran pahala kepada antum/antunna.

Walaupun ana tahu kenyataan ini akan membuatkan ramai yang terasa termasuk rakan-rakan yang mengenali ana ini, tetapi sudah menjadi tanggungjawab ana untuk memberi nasihat dan 
menegur kesilapan mereka. Ana hanyalah insan yang lemah dan masih lagi mencari ilmu sebagai panduan hidup. Kemungkinan ada yang akan membenci diri ana kerana kenyataan ini. Tetapi ingatlah, sekiranya seluruh manusia tidak redha dengan apa yang ana buat tetapi Allah redha dengan apa yang ana buat maka ana akan pilih redha Allah dan tetap dengan pendirian ana. Sesungguhnya redha Allah itu lebih besar daripada redha manusia. Wallahu'alam.

Wassalamualaikum...


Read more

Hari Valentine Merosakkan Akhlak

Assalamualaikum...

Valentines Day..??
Perayaan ini disambut pada 14 Februari setiap tahun dengan tujuan untuk memperingati kekasih.
Adakah antum/antunna tahu apakah hukum menyambutnya ataupun meraikannya..??
Ramai yang mengatakan hukumnya HARAM.
Mengapa..??
Kerana memang sudah terang lagi bersuluh bahawa sambutan perayaan ini haram.
Apakah sebabnya sambutan ini haram..??





Pada pendapat ana, ada beberapa sebab mengapa sambutan perayaan ini haram diantaranya:

1. Perayaan Hari Valentine ini akan menggalakkan remaja-remaja khususnya yang beragama Islam untuk ber'couple' dan meningkatkan lagi statistik remaja-remaja kini untuk berzina. Pada Hari Valentine inilah pasangan-pasangan kekasih akan menunjukkan kesucian cinta mereka. Kebiasaannya, pada Hari Valentine ini, si lelaki akan mengajak kekasihnya pergi keluar berdua-duaan meraikannya dengan mengadakan parti ataupun keluar ke tempat-tempat yang tertentu sehingga larut malam. Ada juga sesetengahnya si lelaki akan memberi hadiah yang istimewa kepada kekasihnya sebagai tanda 'cinta' kepadanya. Perayaan ini bahkan digalakkan oleh pihak-pihak tertentu terutamanya pihak media dengan menyiarkan siaran-siaran yang berkaitan dengannya. Adakah sambutan perayaan ini dibenarkan dalam Islam..?? Ulama' telah bersepakat menyatakan bahawa hukum menyambut perayaan ini adalah haram kerana ianya boleh merosakkan aqidah Islam dan menggalakkan remaja-remaja untuk melakukan maksiat. Ini akan merugikan agama, bangsa dan negara. Tidakkah antum/antunna nampak kesannya? Sebab itu ianya HARAM.


2.
" Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka "
( Hadis Riwayat Imam Abu Daud )


Apa kaitan hadis ini ye..??
Kaitannya, dari manakah asal perayaan Hari Valentine ini antum/antunna semua..??
Mari kita lihat sejarah sambutan perayaan Hari Valentine ini. Ada 3 pendapat mengenai sejarahnya iaitu:
  • Pendapat pertama: Sejarah mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah lalu disapukan darah binatang tersebut ke badan mereka dan mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka. 
  • Pendapat kedua: Sejarah mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini. Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan "From your Valentine" (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine. Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
  • Pendapat ketiga: Sejarah menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Say No To Valentines Day
Antum/antunna semua nampakkan..??
Sambutan perayaan ini tidak ada kaitan langsung dengan agama Islam. Malah, sambutan ini merupakan sambutan orang-orang yang beragama Kristian. Bukankah haram kita menyambut perayaan agama lain..??
Sebab itu perayaan Hari Valentine diharamkan oleh ulama'-ulama' kerana bercanggah dengan syariat Islam.
Jadi, marilah kita sama-sama menghindarkan diri daripada menyambut perayaan ini.
Tidak ada manfaat langsung yang kita akan perolehi melainkan dosa dan azab api neraka yang bakal menunggu di akhirat kelak.
Wallahu'alam.

Wassalamualaikum..


Read more

Hukum Menyambut Maulidur Rasul

Assalamualaikum..

Alhamdulillah kita berjumpa lagi dalam post kali ini.
Kali ini ana ingin menerangkan kepada antum/antunna semua mengenai hukum menyambut Maulidur Rasul. Agak-agak antum/antunna, apa hukumnya ye?



Dalam sebuah hadis, Rasulullah telah bersabda, maksudnya:
"Barangsiapa yang membesarkan hari kezahiranku nescaya aku akan jadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa yang membelanjakan satu dirham untuk maulidku maka seolah-olah ia telah membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah"


Dalam hadis di atas, Rasulullah telah memberitahu kepada kita bahawa sesiapa yang menyambut hari kelahiran Baginda, maka seseorang itu akan mendapat ganjaran seperti yang disebut dalam hadis tersebut. Jadi, hukum menyambut Maulidur Rasul adalah sunat dan akan diberi pahala bagi sesiapa yang melakukannya. Kalau seseorang itu tidak menyambut Maulidur Rasul, mereka tidaklah berdosa cuma mereka akan rugi kerana mereka tidak akan mendapat ganjaran yang Allah janjikan. Justeru itu, tidaklah wajar bagi sesiapa yang menyatakan bahawa menyambut Maulidur Rasul itu adalah sia-sia kerana dalam hadis pun telah disebutkan. Wallahu'alam.

Wassalamualaikum..

*Harap maaf. Ana tidak dapat pastikan siapa yang meriwayatkan hadis tersebut kerana ianya tidak disebut dalam Kitab Hembusan Kasturi yang ditulis oleh Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi.


Read more

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...