Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih mengurniakan nikmat iman dan islam pada diri kita sehingga ke hari ini. Berdoalah kepada Allah supaya ditetapkan hati kita dengan agama Allah ini. Pada post kali ini, alhamdulillah, ana diberi peluang oleh Allah untuk menulis sedikit mengenai bulan Ramadhan, bulan yang mulia ini. InsyaAllah ana akan menceritakan mengikut pengetahuan ana mengenai kemuliaan bulan Ramadhan ini dan puasa di bulan Ramadhan yang diwajibkan oleh seluruh umat Islam di dunia ini. Sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan ataupun fakta yang tidak tepat, harap diperbetulkan. Sama-sama kita berkongsi ilmu.
AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN AL-MUBARAK !
Kedatangan bulan Ramadhan 1434H pada tahun ini akhirnya tiba. Bersyukurlah kepada Allah kerana masih diberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan ini yang hanya setahun sekali datang. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat mulia kerana di dalam bulan Ramadhan ini, Allah menjanjikan pelbagai ganjaran kepada umat Islam yang mengisi sebaik mungkin pada bulan Ramadhan ini. Allah menjanjikan dalam bulan Ramadhan akan terjadinya malam Lailatul Qadar yang merupakan satu malam yang lebih baik dari seribu malam. Di dalam bulan Ramadhan juga, berlakunya peristiwa-peristiwa penting dalam Islam. Al-Quran juga diturunkan di dalam Ramadhan. Allah juga telah mewajibkan seluruh umat Islam berpuasa sebulan di dalam bulan Ramadhan ini yang juga merupakan rukun Islam yang ke-3 selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat fardhu lima waktu. Terdapat banyak huraian mengenai kemuliaan bulan Ramadhan ini dan ganjaran yang akan diperoleh sepanjang bulan Ramadhan ini. Jadi, marilah sahabat-sahabat ana sekalian, kita menghidupkan Ramadhan kali ini dan isilah dengan sebaik mungkin, agar kita dapat melahirkan rasa kehambaan kepada Allah dan menjadi orang yang bertaqwa yang bukan sahaja hanya di dalam bulan Ramadhan, tetapi juga di bulan-bulan yang lain. InsyaAllah.
Allah telah mewajibkan berpuasa di dalam bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Apakah yang dimaksudkan dengan PUASA ?
Puasa, makna dari segi bahasa adalah menahan diri dari lapar dan dahaga.
Dari segi istilah, puasa bermaksud menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari dan disertakan dengan niat.
Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan adalah WAJIB hukumnya bagi seluruh umat Islam berdasarkan ayat Al-Quran :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِى أُنزِلَ فِيهِ القُرْآنُ
هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ
الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ
أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ العُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا
العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadaan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat pertunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
( Al Baqarah : 185 )
Berdasarkan perkataan "فَلْيَصُمْهُ" , ulama telah menghukumkan bahawa puasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi setiap individu muslim kerana perkataan tersebut adalah berbentuk suruhan yang wajib mengikut kaedah nahu bahasa arab. Maka, hukum puasa adalah wajib bagi setiap muslim yang mukallaf di bulan Ramadhan.
Kalau nak cerita mengenai puasa ini memang panjang, ana sendiri pun tak mampu lagi nak hurai lebih pasal puasa ini. Tetapi sebagai seorang muslim yang mukallaf, kita kene juga tahu syarat wajib puasa, syarat sah puasa dan sebagainya. InsyaAllah ana akan nyatakan secara ringkas berkaitan perkara tersebut.
Syarat Wajib Puasa :
1. Berakal
2. Baligh
3. Mampu/Tidak Uzur
Syarat Sah Puasa :
1. Islam
2. Berakal
3. Suci daripada haid dan nifas
Rukun Puasa :
1. Berniat pada malam harinya
2. Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari
Sunat puasa :
1. Makan sahur serta melambatkannya
2. Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
3. Menjamu orang-orang berbuka puasa
4. Solat Tarawih pada malam harinya
5. Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
6. Beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan untuk mendapatkan malam al-Qadar atau Lailatul Qadar
Perkara yang membatalkan puasa :
1. Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
2. Muntah dengan sengaja
3. Bersetubuh
4. Mengeluarkan air mani dengan sengaja
5. Keluar darah haid atau nifas
6. Hilang akal (seperti gila)
7. Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari
8. Murtad (keluar dari Islam)
9. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja)
Mereka yang diizinkan berbuka :
1. Orang yang sakit
2. Orang yang berkerja buruh
3. Orang yang dalam musafir (perjalanan)
4. Orang tua yang sudah lemah
5. Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak
Dengan huraian ringkas ini, insyaAllah kita dapat melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dengan sempurna. Lagipun, ibadah puasa ini juga telah diajarkan kepada kita sejak di sekolah dulu. Jadi, berusahalah untuk mengisi Ramadhan kali ini dengan sebaik mungkin dengan mempertingkatkan dan memperbanyakkan amal ibadah. Akhir kalam, SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1434H !
0 komen: