Salahuddin Al-Ayubi, Penakluk Jerusalem. . .
Assalamualaikum..
Siapakah Salahuddin Al-Ayubi...??
Ana rasa ramai yang tahu siapakah beliau dan apa sejarah di sebalik tokoh Islam yang hebat ini.
Beliau telah menjadi salah seorang tokoh Islam yang terkenal kerana kejayaan beliau dalam menakluk semula Palestin yang telah ditawan oleh Kristian. Di sini ana ingin berkongsi sedikit sejarah mengenai beliau.
"Siapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia."
-Salahuddin Al-Ayubi-
Salahuddin Al-Ayubi |
Salahuddin Al-Ayubi, nama sebenarnya adalah Yusof, lahir di Tikrit ( Iraq ) pada tahun 543H bersamaan 1138M. Ayahnya, Najmuddin Ayyub yang merupakan berbangsa Kurdis berasal dari Azerbaijan. Datuknya berpindah ke Baghdad dengan membawa dua orang putera bernama Najmuddin Ayyub ( ayah Salahuddin ) dan Asadudin Syirkuwah. Kemudian ayah Salahuddin telah dilantik menjadi gabenor di Tirkit dan Asadudin dilantik menjadi panglima tentera.
Sejak kecil, Salahuddin diasuh oleh bapa saudaranya, Asadudin dengan ilmu ketenteraan kerana bapa saudaranya adalah seorang panglima tentera dan diasuh oleh ayahnya dengan ilmu agama. Semasa kecil sehingga meningkat remaja, kehidupan Salahuddin sama seperti kanak-kanak yang lain kerana tidak ada tanda-tanda beliau akan menjadi masyhur apabila dewasa kelak.
Salahuddin dididik dan dibesarkan seperti pemuda Kurdis yang lain. Apabila meningkat dewasa, beliau menjadi pemuda yang cekap menunggang kuda lalu menyertai tentera berkuda Sultan Aleppo. Kemudian, beliau diarahkan berpindah ke Mesir walaupun pada mulanya beliau menerima perintah itu dengan hati hati yang berat kerana hatinya lebih mencintai kota Aleppo. Walau bagaimanapun, selepas berada di Mesir, bintangnya bersinar terang.
Salahuddin Ayyubi berubah menjadi seorang yang sangat cintakan Islam. Beliau bercita-cita merebut kembali Baitul Maqdis daripada kekuasaan tentera Kristian. Demi tujuan itu, beliau bercita-cita memperkuatkan angkatan tentera Islam.
Impian itu tercapai apabila Sultan Nurudin yang memerintah Mesir mangkat lalu Salahuddin dilantik menjadi ketua angkatan tentera Mesir. Bintangnya terus bersinar. Beberapa tahun kemudian, beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Mesir. Bagi menguatkan pemerintahannya, beliau menyatukan Mesir, Syria, Hijaz dan Yaman di bawah satu pemerintahan.
Kemuncak perjuangan Salahuddin apabila tenteranya berjaya mengalahkan tentera Salib di Hittin pada 4hb Julai 1187M. Kejayaan ini membawa kepada jatuhnya Baitul Maqdis pada 15 Oktober 1187M bersamaan hari Jumaat, 27 Rejab 583H di tangan tentera Islam.
Menyingkap kembali sejarah, ketika kota Jerusalem ditawan oleh tentera Salib pada 15 Julai 1099M, keadaan begitu menyayat hati. Tentera Salib bertindak kejam dengan membunuh hampir kesemua penduduk yang beragama Islam termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak. Pembunuhan kejam itu dilakukan selama seminggu sehingga tidak ada lagi penduduk Islam di kota Jerusalem yang terselamat.
Menurut Ibnu Athir di dalam bukunya Al-Kamil fit Tarikh, sebelum sampai ke kota Jerusalem, tentera Salib di bawah pimpinan Raja Reymond menakluk satu tempat bernama Maaratun Nu'man. Di situ mereka membunuh lebih seratus ribu umat Islam dan melemparkan mayat mereka ke dalam api.
Namu begitu, apabila kota Jerusalem berjaya ditawan semula oleh tentera Islam pada 15 Oktober 1187M, berlaku sebaliknya. Salahuddin Al-Ayubi memerintahkan tentera Islam memberi layanan yang baik kepada tawanan. Tidak ada seorang pun penduduk Kristian di kota Jerusalem yang dibunuh ataupun dianiaya. Sebaliknya penduduk Kristian termasuk tentera Salib yang ditawan, dibenarkan meninggalkan kota Jerusalem dengan membayar tebusan mengikut kemampuan masing-masing.
Baitul Maqdis |
Selepas berjaya menawan kota Jerusalem dan mengikat perjanjian perdamaian dengan tentera Salib, Salahuddin Al-Ayubi kembali ke Damsyik. Walaupun ketika itu beliau menjadi pemerintah dari Mesir hingga ke Yaman dan namanya masyhur kerana berjaya menakluk Baitul Maqdis daripada tentera Salib, namun beliau tetap memilih hidup yang sederhana.
Pada 16 Safar 598H beliau telah jatuh sakit. Beliau meninggal dunia pada malam 27 Safar 598H bersamaan Mac 1193M ketika berumur 55 tahun dan dikebumikan di Damsyik, Syria. Semasa beliau meninggal, beliau tidak meninggalkan satu harta walaupun sebuah rumah kecuali 4 dinar yang berada dalam simpanannya.
Begitulah hebatnya seorang pemimpin Islam yang adil. Seorang tokoh Islam yang telah berjaya melakar sejarah dalam dunia Islam. Cita-citanya yang tinggi dalam merampas Baitul Maqdis telah dikabulkan oleh Allah. Setelah hampir 1 abad kota Jerusalem berada di bawah penguasaan tentera Salib, akhirnya jatuh di tangan Islam di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayubi. Ambillah iktibar dan pengajaran dari kisah Salahuddin ini. Semoga Islam akan kembali gemilang di akhir zaman ini. InsyaAllah. Wallahu'alam.
Wassalamualaikum..
MINTA IZIN MENGGUNAPAKAI PENULISAN UNTUK WAR-WARKAN DALAM FB AGAR SEMUA MUSLIM TAHU AKAN PEJUANGAN MUSLIM BAGAIMANA YANG DIREDHOI ALLAH.......!!!!
ReplyDeletesaran... lain kali kalau nulis jangan pakai font warna cerah pada banckground yg jg cerah. susah bacanya
ReplyDelete