Imam Abu Hanifah : Kedatangan Dahri (Part1)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t



Pada post kali ini, ana ingin berkongsi sebuah kisah yang sangat menarik untuk dikongsi bersama. Sebuah kisah yang boleh diambil iktibar dan pengajaran yang sangat berguna untuk kita. Mari kita sama-sama menghayati kisah di bawah ini.

Pagi itu di Masjid Kufah, seperti biasa selepas sembahyang subuh, Imam Hammad bin Abi Sulaiman Asyaari mengadakan kuliah subuhnya. Turut hadir dalam majlis itu ialah Imam Abu Hanifah. Sedang majlis berlangsung tiba-tiba datang seorang utusan Khalifah Yazid bin Abdul Malik.

Utusan itu menemui Imam Hammad lalu berkata, "Tuan Imam, Khalifah Yazid memerintahkan Tuan Imam datang ke Baghdad pada hari ini juga kerana ada perkara penting yang perlu tuan selesaikan. Saya harap tuan tidak mengingkari perintah ini."

"Khalifah Yazid berada dalam keadaan berdukacita akibat kedatangan seorang lelaki yang mengaku namanya Dahri. Lelaki itu berjaya memalukan khalifah dengan mencabar semua ulama di Baghdad berdebat tetapi tiada siapa yang dapat mengalahkannya. Kerana itu khalifah memerintahkan saya datang ke sini bagi mencari seorang ulama yang paling alim serta tinggi ilmunya. Orang ramai mengatakan tuan adalah orangnya. Kerana itu saya datang menemui tuan," jawab utusan itu.

"Bagaimana sekiranya saya enggan mematuhi perintah khalifah ?" tanya Imam Hammad pula.

"Tuan Imam Hammad, umat Islam di Baghdad dipengaruhi pelbagai fahaman agama. Ada yang berfahaman Mukatzilah, Syiah, Jabariyah dan bermacam aliran fahaman. Keadaan itu diburukkan lagi dengan kehadiran lelaki yang bernama Dahri itu. Dia berjaya mengusutkan lagi keadaan umat Islam di Baghdad. Sekiranya perkara itu dibiarkan berterusan, alamatnya umat Islam semakin rosak. Kerana itu menjadi tanggungjawab tuan bagi menyelesaikannya," jawab utusan itu dengan panjang lebar bagi meyakinkan Imam Hammad.

"Mengapa khalifah tidak menangkap lelaki yang bernama Dahri itu ? Dia boleh dijatuhi hukuman bunuh ataupun dikurung di dalam penjara. Mengapa khalifah tidak melakukannya ?" Imam Hammad masih belum berpuas hati dengan perkara itu.

"Lelaki itu dihantar oleh Maharaja Rom. Sekiranya Dahri ditangkap ataupun dihukum bunuh, pasti berlaku peperangan dengan Rom. Tambahan pula ini melibatkan maruah umat Islam. Sekiranya khalifah menangkap ataupun membunuh lelaki itu hanya kerana kalah berdebat, sudah tentu Maharaja Rom mempersendakan kita."

Selepas menghalusi perkara itu, akhirnya Imam Hammad bersetuju pergi ke Baghdad. Beliau ditemani Imam Abu Hanifah dan beberapa orang lagi anak-anak murid yang dipercayainya. Apabila sampai di kota Baghdad, Imam Hammad terus menghadap khalifah Yazid bagi mendapatkan maklumat mengenai lelaki yang bernama Dahri itu.

Menurut khalifah Yazid, seluruh ulama di Baghdad dikalahkan oleh Dahri dengan pertanyaan-pertanyaan yang sukar dijawab. Antara pertanyaan itu adalah benarkah Allah itu wujud ? Sekiranya wujud, di mana tempatnya ? Banyak lagi soalan mengenai Tuhan yang sukar dijawab.

"Sekiranya sahabat-sahabat nabi seperti Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Mas'ud masih hidup, tentu mereka dapat menjawab persoalan itu dengan mudah. Tetapi mereka sudah meninggal dunia," kata khalifah Yazid.

"Amirul Mukminin, soalan-soalan itu sengaja dicipta oleh mereka yang tidak percaya dengan wujudnya Allah. Sebaik-baiknya kita jangan layan sahaja pertanyaan-pertanyaan seperti itu. Tetapi memandangkan lelaki itu dihantar oleh Maharaja Rom bagi memecah-belahkan umat Islam, kita perlu juga menjawabnya. Kerana itu berilah masa selama tiga hari bagi saya mencari jawapannya," kata Imam Hammad.

Khalifah Yazid berasa gembira kerana yakin Imam Hammad dapat mengalahkan lelaki yang bernama Dahri itu. Baginda juga menetapkan mahu diadakan majlis debat itu di Masjid Baghdad supaya orang ramai dapat mengikutinya.

Imam Hammad pula berasa susah hati. Mulutnya tidak lekang daripada mengucapkan zikir sambil berdoa semoga diberi petunjuk bagi menghadapi masalah yang sedang melanda umat Islam itu.

Keesokan harinya selepas sembahyang subuh, Imam Hammad bermuzakarah dengan anak-anak muridnya termasuk Imam Abu Hanifah. Beliau melahirkan rasa dukacita kerana masih belum mendapat ilham bagi menghadapi lelaki yang bernama Dahri itu.

"Malam tadi saya bermimpi berada di sebuah dusun buah-buahan yang luas lagi indah. Di sana, saya lihat ada sepohon kayu yang rendang dan lebat buahnya. Tiba-tiba muncul seekor khinzir lalu memakan buah-buahan yang masak ranum dari pokok itu. Bukan sahaja buah tetapi daun dan dahan-dahan kayu itu habis dimusnahkannya. Yang tinggal batangnya sahaja. Kemudian muncul seekor harimau daripada pangkal pohon itu lalu menerkam serta membunuh khinzir itu," kata Imam Hammad sambil menyatakan rasa peliknya mengenai mimpinya itu.

Imam Abu Hanifah yang sejak tadi mendengar kata-kata gurunya dengan penuh khusyuk tersenyum sambil memandang ke arah Imam Hammad. Wajahnya yang tenang bagai air sungai yang mengalir jernih nampak bercahaya. Antara kelebihan Imam Abu Hanifah adalah beliau dikurniakan ilmu mentafsir mimpi. Pada pengamatannya, mimpi gurunya itu petanda baik. Kerana itu dia tersenyum meskipun Imam Hammad berada dalam keadaan susah hati.

"Tuan, izinkan saya mentafsirkan mimpi tuan itu," kata Imam Abu Hanifah.

"Dipersilakan," kata Imam Hammad.

"Menurut tafsiran saya, dusun yang luas dan indah seperti yang tuan lihat dalam mimpi itu adalah agama kita iaitu agama Islam. Pokok yang berbuah lebat itu adalah sekalian ulama yang masih terdapat pada hari ini. Manakala sepohon kayu yang masih tinggal itu adalah diri tuan sendiri. Manakala khinzir yang tiba-tiba muncul dan merosakkan pohon itu adalah si Dahri. Harimau yang keluar lau membunuh khinzir itu adalah saya. Kerana itu, saya meminta izin daripada tuan bagi berdepan dengan lelaki yang bernama Dahri itu. Dengan izin Tuhan, saya dapat mengalahkan lelaki itu serta memadamkan kesombongannya," kata Imam Abu Hanifah dengan yakin.

Betapa gembiranya hati Imam Hammad apabila mendengar kata-kata anak murid yang paling disayanginya itu. Dia yakin dengan kemampuan Imam Abu Hanifah bagi berdebat dengan Dahri. Tambahan pula dia pernah berguru dengan Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Mas'ud.

Imam Hammad segera memaklumkan kepada khalifah mengenai perkara itu. Pada mulanya baginda juga tidak setuju memandangkan Imam Abu Hanifah masih terlalu muda bagi berdepan dengan lelaki yang bijak seperti Dahri. Tetapi Imam Hammad dapat meyakinkan khalifah bahawa Imam Abu Hanifah memiliki ilmu yang tinggi. Dia sudah berguru dengan 200 ulama termasuk Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Mas'ud. Akhirnya khalifah setuju.

Apakah akan terjadi seterusnya ? Adakah Imam Abu Hanifah berjaya mengalahkan Dahri ? InsyaAllah ana akan tulis kisah selanjutnya pada post yang akan datang. Wallahu'alam.



Written by

0 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...