Kehambaan di Bulan Ramadhan

Tuhan,
Mengapa aku ini ?
Aku berlainan dari orang lain
Setiap kedatangan Ramadhan
Mereka menyambut dengan gembira
Mereka kelihatan ceria
Tapi aku berlainan
Kedatangan RamadhanMu penuh duka
Bukan aku benci bulanMu
Yang penuh rahmat dan berkat
Tapi aku benci diriku
Aku bimbang RamadhanMu
Aku tidak mengisi sebaiknya
Aku rasa puasaku tidak sempurna
Ampunilah aku Tuhan
Aku rasa sembahyangku tidak sah
Terawih, bacaan Al-Quran aku
Tidak sampai ke mana
Tuhan, itulah yang menyelubungi hatiku
Setiap kali kedatangan Ramadhan
Apakah satu kesalahan ?
Ampunkan aku Tuhan
Maafkanlah aku Tuhan
Kalau itu satu kesalahan
Bimbinglah aku, betulkan sikapku
Aku mohon keampunan dariMu Tuhan



0 komen:

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih mengurniakan nikmat iman dan islam pada diri kita sehingga ke hari ini. Berdoalah kepada Allah supaya ditetapkan hati kita dengan agama Allah ini. Pada post kali ini, alhamdulillah, ana diberi peluang oleh Allah untuk menulis sedikit mengenai bulan Ramadhan, bulan yang mulia ini. InsyaAllah ana akan menceritakan mengikut pengetahuan ana mengenai kemuliaan bulan Ramadhan ini dan puasa di bulan Ramadhan yang diwajibkan oleh seluruh umat Islam di dunia ini. Sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan ataupun fakta yang tidak tepat, harap diperbetulkan. Sama-sama kita berkongsi ilmu.

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN AL-MUBARAK !

Kedatangan bulan Ramadhan 1434H pada tahun ini akhirnya tiba. Bersyukurlah kepada Allah kerana masih diberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan ini yang hanya setahun sekali datang. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat mulia kerana di dalam bulan Ramadhan ini, Allah menjanjikan pelbagai ganjaran kepada umat Islam yang mengisi sebaik mungkin pada bulan Ramadhan ini. Allah menjanjikan dalam bulan Ramadhan akan terjadinya malam Lailatul Qadar yang merupakan satu malam yang lebih baik dari seribu malam. Di dalam bulan Ramadhan juga, berlakunya peristiwa-peristiwa penting dalam Islam. Al-Quran juga diturunkan di dalam Ramadhan. Allah juga telah mewajibkan seluruh umat Islam berpuasa sebulan di dalam bulan Ramadhan ini yang juga merupakan rukun Islam yang ke-3 selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat fardhu lima waktu. Terdapat banyak huraian mengenai kemuliaan bulan Ramadhan ini dan ganjaran yang akan diperoleh sepanjang bulan Ramadhan ini. Jadi, marilah sahabat-sahabat ana sekalian, kita menghidupkan Ramadhan kali ini dan isilah dengan sebaik mungkin, agar kita dapat melahirkan rasa kehambaan kepada Allah dan menjadi orang yang bertaqwa yang bukan sahaja hanya di dalam bulan Ramadhan, tetapi juga di bulan-bulan yang lain. InsyaAllah.

Allah telah mewajibkan berpuasa di dalam bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Apakah yang dimaksudkan dengan PUASA ?

Puasa, makna dari segi bahasa adalah menahan diri dari lapar dan dahaga.
Dari segi istilah, puasa bermaksud menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari dan disertakan dengan niat.

Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan adalah WAJIB hukumnya bagi seluruh umat Islam berdasarkan ayat Al-Quran :


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِى أُنزِلَ فِيهِ القُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ العُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


Maksudnya : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadaan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat pertunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
( Al Baqarah : 185 )

Berdasarkan perkataan "فَلْيَصُمْهُ" , ulama telah menghukumkan bahawa puasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi setiap individu muslim kerana perkataan tersebut adalah berbentuk suruhan yang wajib mengikut kaedah nahu bahasa arab. Maka, hukum puasa adalah wajib bagi setiap muslim yang mukallaf di bulan Ramadhan.

Kalau nak cerita mengenai puasa ini memang panjang, ana sendiri pun tak mampu lagi nak hurai lebih pasal puasa ini. Tetapi sebagai seorang muslim yang mukallaf, kita kene juga tahu syarat wajib puasa, syarat sah puasa dan sebagainya. InsyaAllah ana akan nyatakan secara ringkas berkaitan perkara tersebut.

Syarat Wajib Puasa :
1. Berakal
2. Baligh
3. Mampu/Tidak Uzur

Syarat Sah Puasa :
1. Islam
2. Berakal
3. Suci daripada haid dan nifas

Rukun Puasa :
1. Berniat pada malam harinya
2. Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari

Sunat puasa :
1. Makan sahur serta melambatkannya
2. Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
3. Menjamu orang-orang berbuka puasa
4. Solat Tarawih pada malam harinya
5. Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
6. Beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan untuk mendapatkan malam al-Qadar atau Lailatul Qadar

Perkara yang membatalkan puasa :
1. Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
2. Muntah dengan sengaja
3. Bersetubuh
4. Mengeluarkan air mani dengan sengaja
5. Keluar darah haid atau nifas
6. Hilang akal (seperti gila)
7. Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari
8. Murtad (keluar dari Islam)
9. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja)

Mereka yang diizinkan berbuka :
1. Orang yang sakit
2. Orang yang berkerja buruh
3. Orang yang dalam musafir (perjalanan)
4. Orang tua yang sudah lemah
5. Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak

Dengan huraian ringkas ini, insyaAllah kita dapat melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dengan sempurna. Lagipun, ibadah puasa ini juga telah diajarkan kepada kita sejak di sekolah dulu. Jadi, berusahalah untuk mengisi Ramadhan kali ini dengan sebaik mungkin dengan mempertingkatkan dan memperbanyakkan amal ibadah. Akhir kalam, SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1434H !

Wassalamualaikum w.b.t


0 komen:

Hakikat Puasa

Rasulullah pernah bersabda
Ramai orang yang berpuasa
Tiada baginya pahala
Selain lapar dahaga

Ingatan ini mesti dijaga
Agar ibadah puasa kita
Tidak rosak dan sia-sia
Walaupun tepat syarat rukunnya

Selanjutnya Rasul bersabda
Memberitahu pada kita
Banyakkan ibadah di bulan puasa
Balasannya sungguh istimewa

Ia bulan diampunkan dosa
Juga bulan dikabulkan doa
Terhimpun kebaikan padanya
Syurga rindu orang yang memuliakannya

Bagi orang yang menghayati
Ramadhan yang diberkati
Datangnya disambut sepenuh hati
Perginya pula ditangisi

Ini resam para sholihin
Yang patut kita contohi
Puasanya berkesan dihati
Hingga membina peribadi

Inilah puasa yang hakiki



0 komen:

Isu Pergolakan di Syria

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana limpahan nikmat dan rahmatNya, masih memberi peluang kepada kita untuk menikmati hidup ini dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Bersyukur juga kepada Allah kerana masih mengurniakan kepada kita nikmat yang sangat besar dalam hidup kita iaitu nikmat iman dan islam.

Alhamdulillah, pada post kali ini, ana ingin menyentuh sedikit mengenai isu semasa yang sedang hangat diperkatakan di media dan laman sosial. Isu semasa yang dimaksudkan adalah peperangan yang sedang berlaku di negara Syam ataupun sekarang dikenali dengan Syria. Peperangan itu yang sudah meletus sejak 2 tahun lalu telah menyebabkan hampir ratusan ribu nyawa yang terkorban. Ini adalah bala bencana yang sangat besar yang sedang berlaku di dunia hari ini. MasyaAllah. Namun begitu, apakah yang menyebabkan berlaku peperangan saudara di Syria ini ? Apakah yang menyebabkan rakyat memberontak kerajaan Syria ? InsyaAllah ana akan memberi sedikit pandangan yang mungkin tidak seberapa ini dan mungkin juga mempunyai kesalahan yang tidak disengajakan. Sekiranya terdapat kesilapan fakta, mohon diperbetulkan.

Peperangan saudara yang berlaku di Syria itu bukanlah peperangan yang pernah berlaku seperti di Mesir dan Libya sebelum ini iaitu dalam menggulingkan kerajaan. Namun, peperangan di Syria ini lebih kepada peperangan yang melibatkan firqah aqidah yang berbeza yang merupakan pecahan dalam Islam iaitu peperangan yang melibatkan fahaman Syiah dan Ahlussunnah Wal Jamaah (ASWJ) ataupun lebih dikenali dengan Sunni. Kerajaan Syria yang diterajui oleh Bashar Al-Assad merupakan seorang pemerintah negara yang berfahaman Syiah Nusairiyah manakala majoriti rakyat Syria berfahaman Sunni. Sedangkan rakyat yang berfahaman Syiah Nusairiyah hanyalah minoriti sahaja. Apakah yang menyebabkan rakyat Syria yang berfahaman Sunni menentang Bashar Al-Assad ini ? Mengikut beberapa sumber, kebangkitan rakyat Sunni menentang Bashar Al-Assad adalah disebabkan kekejaman pemerintah itu sendiri terhadap rakyat beliau yang berfahaman Sunni. Mereka dibunuh, diseksa, dirogol dan sebagainya oleh tentera pemerintah Bashar Al-Assad. Oleh sebab itu, mereka bangkit dengan menubuhkan sebuah kumpulan baru yang diberi nama dengan Free Syrian Army (FSA) dengan tujuan untuk menumbangkan kerajaan Bashar Al-Assad dan menyelamatkan aqidah Sunni yang dianuti kebanyakan rakyat Syria.

Di zaman yang serba canggih ini, mudah sangat untuk memperoleh sesuatu maklumat yang berkaitan di Syria. Ana telah menonton beberapa video yang menunjukkan kezaliman tentera Bashar Al-Assad dan pengakuan pengikut Bashar Al-Assad mengenai pemimpin mereka itu yang dianggap sebagai tuhan mereka. Nauzubillahi min zalik. Namun begitu, ada sesetengah masyarkat kita tidak tahu mengapa berlaku peperangan antara Sunni dan Syiah ? Mengapa perlu bergaduh sesama Islam ? Bukankah Syiah itu juga Islam ? Inilah pertanyaan sesetengah masyarakat yang tidak tahu menahu mengenai Syiah. Baiklah. Di sini, ana akan cuba memberitahu serba sedikit mengenai Syiah ini.



Apa itu Syiah ?
Syiah dari segi bahasa bermaksud 'pengikut' manakala dari segi istilah bermaksud 'kaum yang beri'tiqad bahawa Saidina Ali k.w.j, adalah orang yang berhak menjadi khalifah pegganti Nabi, kerana Nabi berwasiat bahawa pengganti beliau sesudah wafat adalah Saidina Ali' ( rujukan kitab "I'itiqad Ahlussunnah Wal Jamaah", karangan K.H. Sirajuddin Abbas, m/s 77 ). Fahaman Syiah ini merupakan fahaman yang terawal wujud sebelum fahaman-fahaman lain. Fahaman Syiah ini muncul di akhir pemerintahan Khalifah Saidina Uthman bin Affan. Ianya telah diasaskan oleh seorang pendeta besar Yahudi yang berasal dari Yaman yang baru memeluk Islam iaitu Abdullah bin Saba'. Ada sesetengah pendapat pula mengatakan bahawa beliau sengaja memeluk Islam untuk merosakkan Islam dari dalam. Lalu, beliau telah berhijrah ke Madinah dan menyangka Khalifah akan memberi penghormatan kepada beliau. Namun begitu, apabila beliau sampai di Madinah, ianya tidak seperti yang dijangkakan. Khalifah Uthman bin Affan tidak memberi penghormatan yang diharapkan. Beliau berasa kesal lalu disebabkan ingin marah kepada Khalifah, beliau telah memfitnah dan mempengaruhi orang Islam untuk menentang Khalifah kerana sepatutnya yang menjadi Khalifah adalah Saidina Ali. Begitulah serba sedikit mengenai sejarah Syiah ini. Sekiranya ingin mengetahui lanjut mengenai sejarah Syiah, anda boleh membacanya di post ana yang sebelum ini yang bertajuk Bahaya Syiah.

Namun yang demikian, Syiah ini telah berpecah kepada 22 aliran. Fahaman Syiah merupakan fahaman yang paling banyak berpecah sehingga berpecah kepada 22 aliran. Di antara aliran fahaman Syiah yang terkenal sekarang ialah Syiah Imamiyah (Syiah Imam 12), Syiah Ismailiyah (Syiah Imam 7), Syiah Zaidiyah dan sebagainya. Di antara aliran-aliran ini, ada beberapa khilaf di antara mereka mengenai imam mereka dan mereka tetap juga dikenali dengan Syiah cuma berbeza dari segi keyakinan mereka terhadap imam mereka dan Imam Mahdi mereka. Mengenai huraian aliran Syiah ini, ana minta maaf kerana masih lagi tidak mempunyai ilmu mengenai mereka. Tetapi ana hanya tahu serba sedikit sahaja tentang aliran Syiah ini. Bagi Syiah Imamiyah, mereka beri'itiqad bahawa Imam mereka ada 12 orang yang bermula dengan Saidina Ali dan yang ke-12 itu adalah Imam Mahdi mereka. Syiah Ismailiyah pula beri'itiqad bahawa imam mereka ada 7 sahaja dan yang ke-7 itulah Imam Mahdi mereka. Syiah Zaidiyah pula merupakan aliran syiah yang agak ringan kerana mereka tidak mengkafirkan para sahabat tetapi memuliakan Saidina Ali melebihi Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman. Oleh itu, mereka tetap juga dikenali dengan Syiah. Wallahu'alam.

Oleh itu, untuk mengelakkan diri kita dari terpengaruh dengan fahaman Syiah ini, kita haruslah mengetahui i'itiqad mereka dan fahaman mereka. Mengetahui kesesatan Syiah yang sangat berbeza dengan fahaman ASWJ. Di antara fahaman Syiah ialah :

1. Mengkafirkan para sahabat Rasulullah kecuali 4 orang sahabat diantaranya Abu Dzar, Miqdad bin Amr dan Salman Al-Farisi. Ada juga yang pendapat mengatakan 5 orang.

2. Mengkafirkan Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman kerana menganggap mereka perampas kekhalifahan Saidina Ali.

3. Mengatakan bahawa imam mereka adalah maksum.

4. Ada juga yang berkeyakinan bahawa Saidina Ali setaraf dengan Allah. Nauzubillah.

5. Mengatakan bahawa di akhir zaman nanti, Nabi Muhammad akan lahir ke dunia bersama-sama Imam Mahdi mereka dan imam-imam mereka untuk menghapuskan orang yang zalim.

6. Mengamalkan nikah mutaah.

7. Menganggap Al-Quran sekarang tidak lengkap dan Al-Quran yang sebenar ada di tangan Imam Mahdi mereka. Al-Quran mereka mempunyai 17000 ayat.

8. Mengamalkan taqiyyah dan sebagainya lagi.

Terlalu banyak i'itiqad Syiah yang sangat berbeza dengan ASWJ. Fahaman mereka sangat jauh tersesat daripada ASWJ. Bahkan ada ulama berpendapat bahawa Syiah ini bukan lagi fahaman, ianya adalah agama baru. Ada juga yang mengatakan bahawa Syiah ini bukan lagi dari Islam dan ianya adalah fahaman yang sangat sesat dan menyesatkan. Kitab mereka yang paling popular ialah kitab Usulul Kafi yang dikarang oleh Al-Kullini. Kitab yang menjadi rujukan pengikut Syiah. Mereka juga telah mengubah ayat Al-Quran, menuduh Saidina Umar membuang ayat Al-Quran, menganggap hadis yang dikarang oleh Imam Bukhari dan Muslim adalah hadis maudhu' dan sebagainya lagi. MasyaAllah.

Sampai begitu sekali fahaman mereka yang sangat menyesatkan. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai pencinta Ahlul Bait sedangkan hakikatnya, mereka hanya menggunakan nama Ahlul Bait untuk kepentingan mereka sendiri. Ini bermaksud mereka telah berdusta dengan nama Ahlul Bait itu sendiri. Sedangkan ASWJ juga pencinta Ahlul Bait dan bagi membuktikan mereka mencintai Rasulullah dan Ahlul Bait, mereka membaca maulid, berqasidah dan memuji Rasulullah. Tetapi apa yang Syiah lakukan demi kecintaan mereka kepada Ahlul Bait ? Iaitu mereka mengkafirkan para sahabat ! Nauzubillah.

Begitulah serba sedikit ilmu ana mengenai Syiah ini. Walaupun tidak mampu berhujah panjang mengenai fahaman Syiah ini, sekurangnya kita tahu apakah fahaman Syiah ini. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak bangsa kita supaya berpegang teguh dengan Manhaj Ahlussunnah Wal Jamaah. Jangan biarkan anak bangsa kita mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah yang menyesatkan ini. Sekiranya fahaman Syiah makin menular di Malaysia, tidak mustahil suatu hari nanti, Malaysia juga akan menjadi seperti di Syria. Berdoalah semoga Malaysia terselamat dari fahaman yang menyesatkan ini termasuk fahaman yang selain dengan ASWJ iaitu Muktazilah, Khawarij, Wahabi Mujassimah, Qadariyah, Jabariyah, Murjiah dan Najariyah. Ana mendoakan semoga saudara seaqidah di Syria bersabar dengan dugaan yang menimpa dan berharap Allah memberi kemenangan kepada saudara kita di sana. Kita di sini, hendaklah berusaha dengan berdoa kepada Allah, menyebarkan ilmu tentang kesesatan Syiah ini kepada orang awam, menyekat segala penyebaran fahaman Syiah dan sebagainya yang boleh menjamin penyekatan terhadap ajaran Syiah ini.

Akhir kalam, ana ingin memohon maaf sekiranya terdapat kecacatan dalam penulisan ana ini dan diharapkan apa yang ana sampaikan ini dipandang oleh Allah. Mohon diperbetulkan sekiranya terdapat kesalahan yang tercatat sepanjang dalam penulisan ana ini. Wallahu'alam.

Wassalamualaikum w.b.t.



1 komen:

Imam Abu Hanifah : Perdebatan Dengan Dahri (Part2)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, pada post kali ini, ana akan menyambung balik kisah daripada Imam Abu Hanifah yang sebelum ini. Jadi, marilah sama-sama kita menghayati kisah sambungannya.


Pada hari yang ditetapkan, orang ramai berkumpul di Masjid jamek Kota Baghdad bagi mendengar perdebatan itu. Khalifah Yazid turut hadir bagi menyaksikannya dengan harapan kali ini Dahri kecundang di tangan ulama dari Kufah itu.

Seperti majlis debat sebelumnya, Dahri yang mula-mula bangun lalu naik ke atas mimbar masjid kemudian berucap dengan suara yang tinggi. "Mereka menuduh aku orang yang tidak mempunyai pegangan agama kerana tidak percaya wujudnya Tuhan. Kerana itu aku mencabar ulama-ulama yang mengaku taat agama dan yakin wujudnya Tuhan supaya berdebat dengan aku. Dahri yang bijaksana !"

Imam Abu Hanifah bangun lalu berkata, "Wahai lelaki sombong, orang yang tahu jawapannya pasti dapat menjawab soalan-soalan kamu itu."

Suara Imam Abu Hanifah itu memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam ke arah anak muda itu.

"Anak muda yang masih hingusan ! Jangan masuk campur urusan orang tua-tua. Aku sedang mencabar ulama di sini supaya berdebat dengan aku. Sudah 40 orang ulama aku tewaskan, dan aku akan terus mencabar selagi semua ulama di Baghdad ini tidak tunduk kepada aku," tempelak Dahri sambil bercekak pinggang.

"Wahai Dahri yang sombong kerana tidak percaya kepada Tuhan. Hari ini saya yang akan mencabar kamu. Dengan izin Allah saya akan menjawab semua soalan kamu !" kata Imam Abu Hanifah.

"Siapa kamu ? Berani sungguh menyahut cabaran aku. Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban besar dan berjubah labuh sudah aku kalahkan. Inikan pula budak hingusan seperti kamu," Dahri bersuara lantang membidas Imam Abu Hanifah.

"Wahai Dahri anak didik Maharaja Rom, bukankah Maharaja Rom sendiri percaya kepada tuhan ? Untuk apa dia menghantar kamu ke sini ?" tanya Imam Abu Hanifah pula.

"Aku diperintahkan bagi mencabar ulama-ulama supaya berdebat dengan aku. Selepas semua ulama di sini aku tewaskan, baru aku pulang. Maharaja Rom akan meraikan kejayaan itu dengan memakaikan mahkota di atas kepala aku," jawab Dahri.

"Sekiranya kamu kalah, apa pula hukumannya ?" tanya Imam Abu Hanifah lagi.

"Aku tidak akan kalah kerana tidak ada seorang manusia di bumi ini yang tahu jawapan pada soalan-soalan yang aku berikan," jawab Dahri.

"Pada hari ini kamu akan saya kalahkan. Kamu akan menjadi hina dina apabila pulang menghadap Maharaja Rom," kata Imam Abu Hanifah.

"Siapa nama kamu anak muda ?" tanya Dahri pula.

"Nama sebenar saya Nukman tetapi orang mengenali saya dengan nama Abu Hanifah. Saya yang akan berdebat dengan kamu pada hari ini. Orang ramai termasuk khalifah akan menyaksikannya," jawab Imam Abu Hanifah.

"Jangan kamu hendak bermimpi mengalahkan aku. Sedangkan mereka yang besar serbannya dan labuh jubahnya dapat aku tundukkan," kata Dahri masih dengan sikap bongkaknya.

"Ketahuilah Dahri. Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban yang besar ataupun jubah yang labuh. Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang yang berilmu dan bertaqwa," kata Imam Abu Hanifah lalu membacakan ayat 11 Surah Al-Mujadalah yang bermaksud,

"Allah meninggikan darjat orang beriman dan berilmu di antara kamu dengan beberapa darjat."

Dahri segera menutup telinga dengan tangan kerana dia tidak suka apabila ayat-ayat Al-Quran dibacakan.

"Anak muda yang petah bercakap. Kamu membuat aku marah dan memaksa aku menyahut cabaran kamu. Sekiranya kamu kalah, mahukah kamu menjadi khadam aku ?" tanya Dahri dengan marah.

"Saya tidak mahu bertaruh kerana agama saya tidak membenarkannya. Tetapi sekiranya kamu kalah, mahukah kamu berjanji pulang ke negeri Rom dan jangan menjejakkan kaki ke sini lagi ?" jawab Imam Abu Hanifah.

"Aku setuju dengan permintaan kamu itu. Aku juga akan meminta persetujuan khalifah, sekiranya kamu kalah, kamu akan menjadi khadam aku," balas Dahri lalu menyatakan kesediaannya bagi berdebat dengan anak muda yang dianggapnya masih mentah itu.

"Soalan pertama aku wahai anak muda, benarkah Allah itu wujud ?" soal Dahri memulakan majlis dialognya.

"Sesungguhnya Allah itu memang wujud," tegas Imam Abu Hanifah.

"Sekiranya benar Allah itu wujud, bila dia dilahirkan ?" tanya Dahri lagi sambil tersenyum. Soalan pertama itu yang membuat ramai ulama kelu lidah bagi menjawabnya.

"Allah tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan. Dia yang pertama dan terakhir, tidak ada sesuatu sebelumnya dan tidak ada sesudahnya," jawab Imam Abu Hanifah.

"Mustahil tidak ada yang mendahuluinya dan tidak ada kemudian darinya. Buktikan contohnya kepada aku," balas Dahri.

Imam Abu Hanifah menunjukkan lima jari pada tapak tangannya lalu berkata, "Cuba kamu lihat ibu jari ini. Adakah ada jari sebelumnya ? Cuba lihat pula jari kelingkingku ini. Adakah jari lain selepasnya ? Sekiranya jari ini Tuhan boleh buat begitu, apatah lagi diriNya."

"Sekiranya begitu, pada tahun berapa Tuhan dilahirkan ?" tanya Dahri lagi.

"Seperti yang saya katakan tadi, Allah itu tidak dilahirkan dan tidak melahirkan. Allah itu wujud sebelum wujudnya sesuatu. Sebelum masa dan tarikh dicipta, Allah itu lebih dahulu wujud. Kewujudannya tidak terikat oleh masa dan tarikh." jawab Imam Abu Hanifah.

"Berikan buktinya...," pinta Dahri.

"Adakah kamu tahu ilmu mengira ?" tanya Imam Abu Hanifah pula.

"Sejak kecil aku sudah mengenal angka," jawab Dahri.

"Apakah angka sebelum nombor satu ?"

"Kosong atau tiada...."

"Sekiranya angka satu itu tidak angka sebelumnya, mengapa kamu hairan Allah Yang Maha Esa itu tidak ada yang mendahuluiNya ?"

Dahri terkesima kerana tidak menyangka anak muda yang disangkanya masih mentah itu dapat mematahkan hujahnya. Namun dia tidak mahu mengalah lalu terus bertanya,"Kata kamu, Allah itu wujud. Sekiranya begitu di manakah Tuhan kamu itu berada kerana setiap yang wujud pasti ada tempatnya ?"

"Maha Suci Allah yang tetap wujud tetapi tidak mempunyai tempat !" jelas Imam Abu Hanifah.

"Bukankah setiap yang wujud pasti ada tempatnya ? Lihat pohon kayu itu tempatnya di atas tanah. Manusia wujud tempatnya di atas bumi. Ikan itu wujud tempatnya di dalam air. Setiap yang wujud pasti bertempat," bantah Dahri sambil melemparkan senyuman sinisnya kepada hadirin.

"Jawapannya mudah sahaja. Cuba kamu lihat pada dirimu sendiri. Bukankah kamu ada nyawa ?" kata Imam Abu Hanifah.

Orang ramai pula mengikuti hujah-hujah anak muda itu dengan penuh minat.

"Dalam tubuhku ini memang ada nyawa. Bahkan setiap makhluk yang hidup pasti ada nyawa !" sahut Dahri.

"Adakah kamu tahu di manakah letaknya nyawa atau roh itu ? Di kepala kamukah, di perutkah ataupun adakah di hujung tapak kakimu ?" balas Imam Abu Hanifah.

Dahri tersentak mendengarnya. Dia tidak menyangka anak muda itu begitu pintar sedangkan sebelum itu tidak ada ulama yang dapat menjawabnya. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama mereka.

"Dahri, sekiranya kamu masih belum jelas, saya mahu jelaskan. Sekarang berikan saya segelas susu," pinta Imam Abu Hanifah.

Selepas diberikan segelas susu, Imam Abu Hanifah menunjukkannya kepada Dahri lalu bertanya, "Adakah kamu percaya dalam susu ini mengandungi lemak ?"

"Aku percaya...," jawab Dahri.

"Tunjukkan kepada aku di manakah lemak itu berada ? Di bahagian ataskah, di bahagian tengahkah ataupun di bahagian bawah ?" tanya Imam Abu Hanifah.

Sekali lagi Dahri tersentak lalu menggaru-garu kepalanya kerana dia tidak dapat menjawab pertanyaan itu. Melihat keadaan itu, Imam Abu Hanifah pun berkata, "Bagi mencari di manakah letaknya lemak dalam air susu ini pun kita tidak mampu dan bagi mengetahui di mana letaknya roh dalam diri kita tidak tahu, inikan pula mahu mencari di mana letaknya zat Allah."

Dahri terpaku, mukanya merah kerana berasa malu. Namun dia berusaha mengawal dirinya. Apabila keadaan agak reda, dia mengemukakan soalan seterusnya, "Hai anak muda, beritahu aku apakah yang wujud sebelum Allah dan apa pula yang muncul selepasnya ?" tanya Dahri.

Orang ramai menumpukan perhatian pada Imam Abu Hanifah.

"Jawapannya sama seperti yang mula-mula tadi. Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah dan tidak sesuatu jua yang akan muncul selepasnya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang awal dan dialah yang akhir," tegas Imam Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

"Mustahil Tuhan wujud  tanpa ada permulaannya dan lebih mustahil tidak ada lagi selepasnya. Apa hujahnya ?" Dahri cuba berdalih dengan menggunakan logik akalnya.

Dengan tersenyum Imam Abu Hanifah menjelaskan, "Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kamu lihat pada ibu jari kamu itu. Jari apakah yang kamu nampak sebelum jari ini ?" sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Beberapa hadirin turut berbuat demikian.

"Pada jari kelingking kamu itu, apakah ada jari yang selepasnya ?" sambung Imam Abu Hanifah.

Dahri terdiam. Imam Abu Hanifah terus berhujah, "Sekiranya pada jari kita yang kecil ini pun tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahuluinya dan tiada sesuatu yang kemudian selepasnya."

"Kata-kata Allah dalam surah Al-Hadid ayat 3 yang bermaksud,

"Dialah yang awal dan Dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan Dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

"Anak muda, banyak lagi soalan yang aku mahu kemukakan. Tetapi sebelum itu, aku hendak bertanya, dengan siapa kamu berguru ?" tanya Dahri kerana kagum dengan kehebatan lawannya itu.

"Guruku adalah Imam Hammad. Dia turut berada dalam majlis ini sedang mengikuti perdebatan kita. Sekiranya saya anak muridnya tidak dapat kamu kalahkan, apatah lagi guru saya Imam Hammad." jawab Imam Abu Hanifah.

Dahri mula rasa gentar kerana anak muda itu bukan calang-calang orang bagi dilawan berdebat. Itu baru anak muridnya, belum lagi gurunya. Namun, Dahri tetap tidak mahu mengalah.

"Beritahu aku keadaan zat Tuhanmu, apakah ia keras dan pada seperti besi, ataupun cair seperti  air, ataupun berwap seperti udara ?" tanya Dahri lagi.

"Pernahkah kamu melihat orang sakit yang akan meninggal ?" tanya Imam Abu Hanifah pula.

"Selalu aku melihatnya," jawab Dahri.

"Sebelum meninggal dunia, pesakit itu masih boleh bercakap serta menggerak-gerakkan anggotanya. Tetapi apabila meninggal dunia, dia diam kaku dan bisu. Mengapa jadi begitu ?" tanya Imam Abu Hanifah pula.

"Kerana roh meninggalkan tubuhnya ataupun nyawanya sudah hilang," jawab Dahri.

"Apakah kamu melihat roh itu keluar ataupun nyawanya dicabut ?" tanya Imam Abu Hanifah lagi.

"Tidak," jawab Dahri.

"Kamu tidak dapat melihat roh itu kerana ia bukan benda yang padat seperti besi, ataupun cair seperti air ataupun menguap seperti udara ? Betul ?" tanya Imam Abu Hanifah.

"Entahlah, aku tidak pasti," kata Dahri.

"Sekiranya kita tidak mengetahui bagaimana bentuk roh itu, bagaimana kita hendak mengetahui zat Allah ?"

"Ke arah manakah Allah sekarang sedang menghadap wajahnya ? Sebab segala sesuatu pasti mempunyai wajah dan arah tempat menghadap," tanya Dahri.

"Sekiranya kamu menyalakan lampu dalam gelap, ke arah manakah sinar lampu itu menghadap ?"

"Sinar lampu itu pasti menghadap ke seluruh arah dan penjuru."

"Sekiranya demikian halnya dengan lampu yang cuma buatan manusia, bagaiman dengan Allah Pencipta langit dan bumi ? Dia nur cahaya langit dan bumi."

"Kamu percaya adanya syurga ?" tanya Dahri lagi.

"Saya percaya," jawab Imam Abu Hanifah.

"Benarkah dalam syurga itu disediakan pelbagai jenis makanan dan minuman ? Tetapi penghuninya tidak buang air besar dan kecil. Bukankah itu cuma khayalan ?"

"Bukankah kamu pernah berada dalam perut ibu kamu selama sembilan bulan ? Selama dalam kandungan ibu itu kamu juga makan dan minum. Tetapi kamu tidak pernah buang air besar dan kecil. Itu baru dalam kandungan perut ibu kamu. Bagaimana pula sekiranya di dalam syurga ?"

Namun, Dahri masih tidak berputus asa mahu mengalahkan anak muda yang memalukannya itu. Dia memandang ke arah khalifah Yazid yang tersenyum. Sebelum itu wajah khalifah turut bermuram durja apabila para ulama tidak dapat berhujah dengan Dahri. Dahri berfikir seketika, mencari jalan bagi mengalahkan lawannya.

"Ini soalan aku yang terakhir. Aku yakin kamu tidak tahu apa jawapannya," kata Dahri sambil bercekak pinggang. Dia sengaja mengeraskan suaranya bagi menghilangkan rasa malunya.

"Dengan izin Tuhan, saya pasti menjawabnya...," balas Imam Abu Hanifah.

"Anak muda yang masih mentah, beritahu aku apa yang sedang dilakukan oleh Tuhan kamu ketika ini ?" Soalan Dahri yang terakhir itu membuat Imam Abu Hanifah tersenyum riang. Dia seperti menduga soalan itu yang akan ditanyakan lawannya.

"Soalan yang terakhir itu sangat menarik. Ia menentukan siapa yang kalah dan siapa yang menang. Kerana soalan itu penting, saya perlu menjawabnya dari tempat tertinggi supaya dapat didengar oleh semua orang. Kerana itu marilah kita bertukar tempat. Kamu turun ke bawah dan saya naik ke atas mimbar supaya suara jelas kedengaran," kata Imam Abu Hanifah.

"Baiklah, dengan senang hati aku turun ke bawah dan kamu boleh mengambil tempat aku di atas mimbar," kata Dahri yang berasa yakin beroleh kemenangan.

Imam Abu Hanifah berdiri di atas mimbar lalu menghadap ke arah orang ramai lalu berkata dengan suara yang lantang, "Wahai sekalian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah sekarang ini adalah menjatuhkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Allah juga menaikkan yang hak sebagaimana saya, yang berada di bawah sana, dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini."

Maka bergemalah takbir daripada orang ramai. Mereka memuji kewibawaan Imam Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah umat Islam daripada lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu. Dahri pula terpaksa mengaku kalah lalu pulang ke negaranya dengan penuh kehinaan.

Kemudian, Imam Abu Hanifah bersama Imam Hammad dan anggota rombongannya pulang ke Kufah selepas dikurniakan pelbagai hadiah daripada khalifah. Beliau kembali menjalani kehidupan seperti biasa menuntut ilmu dengan Imam Hammad.


Begitulah kisah sejarah seorang tokoh Islam yang sangat bertaqwa kepada Allah yang mampu mengalahkan musuhnya dengan ilmu yang dicari olehnya. Sebab itu ilmu itu wajib kita cari kerana ia dapat menangkis segala yang jahil dengan izin Allah. Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad dan tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China. Bukankah menuntut ilmu itu fardhu bagi setiap Muslim yang mukallaf ? Jadi, marilah kita sama-sama berusaha mencari lagi ilmu sementara umur kita masih muda ini. Wallahu'alam.



0 komen:

Imam Abu Hanifah : Kedatangan Dahri (Part1)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t



Pada post kali ini, ana ingin berkongsi sebuah kisah yang sangat menarik untuk dikongsi bersama. Sebuah kisah yang boleh diambil iktibar dan pengajaran yang sangat berguna untuk kita. Mari kita sama-sama menghayati kisah di bawah ini.

Pagi itu di Masjid Kufah, seperti biasa selepas sembahyang subuh, Imam Hammad bin Abi Sulaiman Asyaari mengadakan kuliah subuhnya. Turut hadir dalam majlis itu ialah Imam Abu Hanifah. Sedang majlis berlangsung tiba-tiba datang seorang utusan Khalifah Yazid bin Abdul Malik.

Utusan itu menemui Imam Hammad lalu berkata, "Tuan Imam, Khalifah Yazid memerintahkan Tuan Imam datang ke Baghdad pada hari ini juga kerana ada perkara penting yang perlu tuan selesaikan. Saya harap tuan tidak mengingkari perintah ini."

"Khalifah Yazid berada dalam keadaan berdukacita akibat kedatangan seorang lelaki yang mengaku namanya Dahri. Lelaki itu berjaya memalukan khalifah dengan mencabar semua ulama di Baghdad berdebat tetapi tiada siapa yang dapat mengalahkannya. Kerana itu khalifah memerintahkan saya datang ke sini bagi mencari seorang ulama yang paling alim serta tinggi ilmunya. Orang ramai mengatakan tuan adalah orangnya. Kerana itu saya datang menemui tuan," jawab utusan itu.

"Bagaimana sekiranya saya enggan mematuhi perintah khalifah ?" tanya Imam Hammad pula.

"Tuan Imam Hammad, umat Islam di Baghdad dipengaruhi pelbagai fahaman agama. Ada yang berfahaman Mukatzilah, Syiah, Jabariyah dan bermacam aliran fahaman. Keadaan itu diburukkan lagi dengan kehadiran lelaki yang bernama Dahri itu. Dia berjaya mengusutkan lagi keadaan umat Islam di Baghdad. Sekiranya perkara itu dibiarkan berterusan, alamatnya umat Islam semakin rosak. Kerana itu menjadi tanggungjawab tuan bagi menyelesaikannya," jawab utusan itu dengan panjang lebar bagi meyakinkan Imam Hammad.

"Mengapa khalifah tidak menangkap lelaki yang bernama Dahri itu ? Dia boleh dijatuhi hukuman bunuh ataupun dikurung di dalam penjara. Mengapa khalifah tidak melakukannya ?" Imam Hammad masih belum berpuas hati dengan perkara itu.

"Lelaki itu dihantar oleh Maharaja Rom. Sekiranya Dahri ditangkap ataupun dihukum bunuh, pasti berlaku peperangan dengan Rom. Tambahan pula ini melibatkan maruah umat Islam. Sekiranya khalifah menangkap ataupun membunuh lelaki itu hanya kerana kalah berdebat, sudah tentu Maharaja Rom mempersendakan kita."

Selepas menghalusi perkara itu, akhirnya Imam Hammad bersetuju pergi ke Baghdad. Beliau ditemani Imam Abu Hanifah dan beberapa orang lagi anak-anak murid yang dipercayainya. Apabila sampai di kota Baghdad, Imam Hammad terus menghadap khalifah Yazid bagi mendapatkan maklumat mengenai lelaki yang bernama Dahri itu.

Menurut khalifah Yazid, seluruh ulama di Baghdad dikalahkan oleh Dahri dengan pertanyaan-pertanyaan yang sukar dijawab. Antara pertanyaan itu adalah benarkah Allah itu wujud ? Sekiranya wujud, di mana tempatnya ? Banyak lagi soalan mengenai Tuhan yang sukar dijawab.

"Sekiranya sahabat-sahabat nabi seperti Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Mas'ud masih hidup, tentu mereka dapat menjawab persoalan itu dengan mudah. Tetapi mereka sudah meninggal dunia," kata khalifah Yazid.

"Amirul Mukminin, soalan-soalan itu sengaja dicipta oleh mereka yang tidak percaya dengan wujudnya Allah. Sebaik-baiknya kita jangan layan sahaja pertanyaan-pertanyaan seperti itu. Tetapi memandangkan lelaki itu dihantar oleh Maharaja Rom bagi memecah-belahkan umat Islam, kita perlu juga menjawabnya. Kerana itu berilah masa selama tiga hari bagi saya mencari jawapannya," kata Imam Hammad.

Khalifah Yazid berasa gembira kerana yakin Imam Hammad dapat mengalahkan lelaki yang bernama Dahri itu. Baginda juga menetapkan mahu diadakan majlis debat itu di Masjid Baghdad supaya orang ramai dapat mengikutinya.

Imam Hammad pula berasa susah hati. Mulutnya tidak lekang daripada mengucapkan zikir sambil berdoa semoga diberi petunjuk bagi menghadapi masalah yang sedang melanda umat Islam itu.

Keesokan harinya selepas sembahyang subuh, Imam Hammad bermuzakarah dengan anak-anak muridnya termasuk Imam Abu Hanifah. Beliau melahirkan rasa dukacita kerana masih belum mendapat ilham bagi menghadapi lelaki yang bernama Dahri itu.

"Malam tadi saya bermimpi berada di sebuah dusun buah-buahan yang luas lagi indah. Di sana, saya lihat ada sepohon kayu yang rendang dan lebat buahnya. Tiba-tiba muncul seekor khinzir lalu memakan buah-buahan yang masak ranum dari pokok itu. Bukan sahaja buah tetapi daun dan dahan-dahan kayu itu habis dimusnahkannya. Yang tinggal batangnya sahaja. Kemudian muncul seekor harimau daripada pangkal pohon itu lalu menerkam serta membunuh khinzir itu," kata Imam Hammad sambil menyatakan rasa peliknya mengenai mimpinya itu.

Imam Abu Hanifah yang sejak tadi mendengar kata-kata gurunya dengan penuh khusyuk tersenyum sambil memandang ke arah Imam Hammad. Wajahnya yang tenang bagai air sungai yang mengalir jernih nampak bercahaya. Antara kelebihan Imam Abu Hanifah adalah beliau dikurniakan ilmu mentafsir mimpi. Pada pengamatannya, mimpi gurunya itu petanda baik. Kerana itu dia tersenyum meskipun Imam Hammad berada dalam keadaan susah hati.

"Tuan, izinkan saya mentafsirkan mimpi tuan itu," kata Imam Abu Hanifah.

"Dipersilakan," kata Imam Hammad.

"Menurut tafsiran saya, dusun yang luas dan indah seperti yang tuan lihat dalam mimpi itu adalah agama kita iaitu agama Islam. Pokok yang berbuah lebat itu adalah sekalian ulama yang masih terdapat pada hari ini. Manakala sepohon kayu yang masih tinggal itu adalah diri tuan sendiri. Manakala khinzir yang tiba-tiba muncul dan merosakkan pohon itu adalah si Dahri. Harimau yang keluar lau membunuh khinzir itu adalah saya. Kerana itu, saya meminta izin daripada tuan bagi berdepan dengan lelaki yang bernama Dahri itu. Dengan izin Tuhan, saya dapat mengalahkan lelaki itu serta memadamkan kesombongannya," kata Imam Abu Hanifah dengan yakin.

Betapa gembiranya hati Imam Hammad apabila mendengar kata-kata anak murid yang paling disayanginya itu. Dia yakin dengan kemampuan Imam Abu Hanifah bagi berdebat dengan Dahri. Tambahan pula dia pernah berguru dengan Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Mas'ud.

Imam Hammad segera memaklumkan kepada khalifah mengenai perkara itu. Pada mulanya baginda juga tidak setuju memandangkan Imam Abu Hanifah masih terlalu muda bagi berdepan dengan lelaki yang bijak seperti Dahri. Tetapi Imam Hammad dapat meyakinkan khalifah bahawa Imam Abu Hanifah memiliki ilmu yang tinggi. Dia sudah berguru dengan 200 ulama termasuk Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Mas'ud. Akhirnya khalifah setuju.

Apakah akan terjadi seterusnya ? Adakah Imam Abu Hanifah berjaya mengalahkan Dahri ? InsyaAllah ana akan tulis kisah selanjutnya pada post yang akan datang. Wallahu'alam.



0 komen:

Abu Yazid Al Bustami : Perdebatan Dengan Ketua Paderi (Part 2)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t


Makam Abu Yazid Al Bustami


Mari kita hayati kisah sambungan Abu Yazid Al Bustami,

Setelah berguru dengan Imam Hanbali, Abu Yazid Al Bustami pulang ke Bustam. Pada suatu malam, beliau bermimpi bertemu dengan seorang lelaki yang menyuruhnya pergi ke gereja Sama'an. Pada mulanya beliau menyangka mimpi itu hanya mainan tidur. Tetapi selepas mimpi yang sama berulang sebanyak tiga kali maka beliau memutuskan untuk pergi ke gereja itu pada keesokkan harinya.

Kedatangan Abu Yazid Al Bustami tidak disedari oleh paderi-paderi yang berada di gereja itu kerana beliau juga memakai pakaian yang sama seperti mereka. Kebetulan pada hari itu, ramai paderi yang berkumpul di gereja Sama'an bagi menyambut kedatangan paderi besar mereka. Abu Yazid Al Bustami turut menyambutnya serta mendengar ucapan yang disampaikan oleh paderi besar itu.

Tiba-tiba ucapan ketua paderi itu terganggu. Dia langsung tidak boleh meneruskan lagi ucapannya. Orang ramai berasa hairan dan tertanya-tanya sebabnya.

"Saya tahu di dalam gereja ini ada seorang umat Muhammad turut hadir. Kehadirannya membuatkan saya tidak boleh berucap," beritahu ketua paderi itu.

Keadaan menjadi gempar apabila paderi-paderi itu marah lalu mencari siapa yang dimaksudkan paderi besar itu. Akhirnya mereka dapat mengesan Abu Yazid Al Bustami lalu menangkapnya.

"Bunuh lelaki itu !" teriak seseorang yang sangat marah.

"Jangan dibunuh. Aku ingin bercakap dengannya," tegah ketua paderi itu.

Abu Yazid Al Bustami dibawa naik ke pentas untuk ditemukan dengan ketua paderi itu.

"Boleh perkenalkan diri kamu ? Kenapa kamu datang ke sini ?" tanya ketua paderi itu.

"Malam tadi saya bermimpi bertemu seorang lelaki lalu disuruhnya saya datang ke sini." jawab Abu Yazid Al Bustami dengan jujur.

"Wahai pengikut Muhammad, aku tidak peduli apa alasan kamu datang ke sini. Apa yang pasti kedatangan kamu mengganggu ucapan aku dan menimbulkan kemarahan paderi-paderi lain," kata ketua paderi itu.

"Saya memohon maaf jika itu satu kesalahan...," kata Abu Yazid Al Bustami.

"Aku boleh lepaskan kamu dengan selamat tetapi dengan satu syarat. Jawab pertanyaanku. Jika kamu tidak dapat menjawabnya nescaya kami akan membunuh kamu," kata ketua paderi itu.

"Tanyalah apa sahaja...," kata Abu Yazid Al Bustami.

"Aku akan bertanya 50 soalan terus menerus kemudian kamu mesti menjawabnya satu per satu dengan tepat. Jika kamu tidak dapat menjawabnya ataupun salah memberi jawapan maka kamu akan dihukum bunuh," kata ketua paderi lalu mengemukakan soalan-soalan tersebut.

Berikut 50 soalan ketua paderi dan 50 jawapan Abu Yazid Al Bustami.


1. Yang satu tidak ada duanya.
Kewujudan Allah Maha Esa. Dia Tuhan yang tunggal dan tiada sekutu bagiNya.

2. Yang dua tiada tiganya.
Malam dan siang. Apabila pergi malam datanglah siang dan apabila pergi siang datanglah malam.

3. Yang tiga tiada empatnya.
Kursi, Kalam dan Arash Allahu Subhanahu Wa Ta'ala.

4. Yang empat tiada limanya.
Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

5. Yang lima tiada enamnya.
Islam telah memfardhukan solat lima waktu : Zohor, Asar, Maghrib, Ishak dan Subuh.

6. Yang enam tiada tujuhnya.
Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut di dalam Kitab-kitab suci juga.

7. Yang tujuh tiada lapannya.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang disebut di dalam Kitab Suci juga.

8. Yang lapan tiada sembilannya.
Bilangan Malaikat yang memikul Arash Allah Taala yang disebutkan di dalam Kitab Suci (ertinya) : Dan akan memikul Arash Tuhan kamu pada hari (Kiamat) itu adalah lapan Malaikat.

9. Yang sembilan tiada sepuluh.
Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadi kerosakan bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Suci (ertinya) : Di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10. Sepuluh yang sempurna.
Kewajipan puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke negerinya. Itulah dia sepuluh yang sempurna.

11. Yang sebelas.
Saudara-saudara Nabi Yusof AS.

12. Yang dua belas.
Bilangan bulan dalam setahun.

13. Yang tiga belas.
Mimpi Nabi Yusof AS yang tersebut di dalam Kitab Suci: Sesungguhnya Aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14. Orang yang berdusta,kemudian dapat masuk Syurga.
Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusof AS. Mereka memberitahu ayah mereka Nabi Yaakob AS bahawa Yusof telah di makan serigala. Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itu adalah suatu dusta.

15. Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Mereka ialah kaum Yahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Telah berkata Kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani pula kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka iaitu mempercayai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.

16. Tempat roh dalam badan manusia.
Roh berada di dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firmannya (ertinya) : Katakan roh itu dari perkara urusan Tuhanku.

17. Al Zariyati Zarwa.
Nama empat macam angin.

18. Al Hamilati Wakra.
Awan gemawan di dada langit.

19. Al Jariyati Yusra.
Perahu-perahu yang belayar di laut.

20. Al Mukassimati Amra.
Malaikat-malaikat yang bertugas membahagi-bahagikan rezeki kepada manusia pada malam Nisfu Syaaban.

21. Yang empat belas.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Maka Allah berfirman kepadanya iaitu kepada tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi, datanglah kepada aku secara patuh terhadap perintahKu ataupun secara terpaksa. Maka berkata kedua-dua langit dan bumi, "kami akan datang kepadaMu secara patuh dan taat."

22. Kubur yang berjalan dengan penghuninya.
Ikan besar yang menelan Nabi Yunus AS. Nabi Yunus AS di bawa oleh ikan ke mana-mana sahaja yang akhirnya dimuntahkan di pantai dengan izin Allah Taala.

23. Yang bernafas, tetapi tidak mempunyai roh.
Waktu subuh seperti firman Allah Taala (ertinya) : Demi subuh apabila ia terlepas.

24. Air yang tidak turun dari langit dan tidak keluar dari bumi.
Air yang dikirim oleh ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman AS di dalam botol iaitu air peluh kuda.

25. Empat yang bukan daripada golongan manusia, Malaikat dan bukan daripada benih lelaki dan daripada perempuan.
Kibas yang di bawa Jibril AS sebagai korban ganti Nabi Ismail AS, unta Nabi Salleh AS yang disembelih kaumnya, untuk Nabi Adam dan Siti Hawa AS.

26. Satu ciptaan Allah, lalu diingkarinya sebagai satu yang buruk.
Suara keldai yang tidak sedap didengar, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keldai.

27. Darah yang mula-mula mengalir ke bumi.
Darah Habil yang dibunuh oleh saudaranya Kabil.

28. Sesuatu ciptaan Allah, lalu diangkat sesuatu yang berat.
Helah kaum wanita, seperti firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya tipu helah wanita adalah suatu tipu helah besar atau berat.

29. Pada mulanya sebatang kayu kemudian menjadi roh.
Tongkat Nabi Musa AS.

30. Wanita yang paling utama.
Hawa, ibu sekalian manusia, kemudian Khatijah dan Aisyah, Asiah (isteri Firaun) dan Maryam Binti Imran.

31. Gunung yang paling utama.
Gunung Tursina.

32. Binatang yang paling utama.
Kuda.

33. Bulan yang paling utama.
Bulan Ramadhan.

34. Malam yang paling utama.
Lailatul Qadar.

35. Tentang Atta'mah.
Hari Kiamat.

36. Pohon yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting ada 30 daun, setiap daun ada lima kembang, dua bunga di matahari dan tiga bunga di tepi kegelapan.
Pohon itu "tahun" yang padanya ada 12 bulan, satu bulan ada 30 hari. Lima itu ialah lima waktu solat. Dua bunga matahari itu ialah solat Zohor dan Asar. Tiga pada waktu malam iaitu Maghrib, Isyak dan Subuh.

37. Satu benda yang pergi haji dan tawaf di Baitullah, tetapi tidak mempunyai roh dan tidak wajib haji.
Bahtera Nabi Noh Alaihissalam.

38. Empat jenis air yang lain rupanya dan rasanya, tetapi sumbernya satu.
Air mata, air telinga, air hidung dan air mulut. Air mata masin, air telinga pahit, air hidung masin dan air mulut tawar.

39. Nakir, fatil dan kitmir.
Nakir ialah titik yang terdapat pada kulit luar benih, fatil ialah titik yang terdapat di dalam benih dan kitmir ialah kulit yang membaluti benih.

40. Sabid dan Labad.
Bulu kambing biri-biri dan kambing kasi.

41. Sam dan Ram.
Makhluk yang telah ada sebelum wujud Nabi Adam AS.

42. Maksud keldai Makwak.
Keldai Makwak tanda ia melihat syaitan, lalu ia berkata: Allah melaknatnya.

43. Maksud anjing menyalak.
Anjing menyalak bermaksud : Awas! Celaka bagi penghuni-penghuni neraka dari kemurkaan Allah yang maha berkuasa.

44. Maksud jeritan kuda.
Kuda menjerit bermaksud : Maha suci Allah yang memeliharaku ketika tentera berpadu menyerang musuh dengan penuh semangat.

45. Maksud jeritan unta.
Unta menjerit membawa maksud : Hasbiyallahu Wakafa Billahi Wakila (ertinya): Memadailah Allah bagiku dan cukuplah Dia tempat aku menyerahkan diriku.

46. Maksud nyanyian burung Bulbul.
Nyanyian Bulbul bermaksud : Maha suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.

47. Maksud bunyi katak.
Bunyi katak bermaksud : Maha suci Tuhan yang di sembah di mana-mana sahaja ada makhlukNya dan di tempat-tempat yang tiada penghuninya.

48. Maksud kata-kata burung Nakus.
Maksud kata-katanya : Maha suci Allah sungguh-sungguh! Wahai anak Adam! Lihatlah di barat dan di timur di dunia itu, adakah makhluk yang menongkat langit?

49. Kaum daripada makhluk Allah yang diutus kepadanya, namun ia bukan dari kumpulan jin, manusia dan Malaikat.
Makhluk itu adalah lebah seperti firman Allah Taala (ertinya): Dan Tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebah.

50. Di mana malam ketika siang dan di mana siang ketika malam.
Kedua-duanya berada di dalam ilmu Allah Taala yang amat sulit.


"Wahai Abu Yazid, semua soalan aku tadi dapat kamu menjawabnya dengan tepat. Daripada manakah kamu mempelajari semua jawapan ini ?" tanya ketua paderi dengan rasa hairan.

"Orang tua dalam mimpi aku itu yang mengajarkannya," jawab Abu Yazid Al Bustami.

"Kamu boleh pergi dari sini dengan selamat," kata ketua paderi itu.

"Saya sudah menjawab semua soalan yang tuan tanyakan. Adakah lagi soalannya ?" tanya Abu Yazid Al Bustami pula.

"Tidak ada lagi," jawab ketua paderi itu.

"Bagaimana pula dengan paderi-paderi yang lain ?" tanya Abu Yazid Al Bustami.

Semua paderi menjawab, "Tidak ada lagi."

"Jika begitu giliran saya pula bertanya. Cuma satu soalan sahaja," kata Abu Yazid Al Bustami.

"Silakan...'" jawab ketua paderi.

"Beritahu saya apakah kunci syurga dan kunci neraka ?" tanya Abu Yazid Al Bustami.

Ketua paderi terdiam. Semua paderi juga terdiam kerana tidak tahu jawapannya.

"Lelaki umat Muhammad itu sudah menjawab 50 soalan tuan tetapi tuan tidak dapat menjawab hanya satu soalannya," kata salah seorang paderi itu.

"Bukan saya tidak mahu menjawabnya, tetapi saya takut kamu tidak setuju dengan jawapan saya," kata ketua paderi itu.

"Tuan adalah ketua kami. Kami setuju apa sahaja jawapan tuan," kata paderi itu.

"Bahawa kunci syurga dan kunci neraka itu tidak lain ialah ucapan, Laailaahaillallah Muhammadur Rasulullah...," jawab ketua paderi itu.

Lalu Abu Yazid Al Bustami berkata, "Memang benar jawapan itu."

"Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahawa apa yang saya beritahu itu adalah benar. Saya tidak didesak oleh mana-mana tekanan. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan perkaran ini kepada sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya saya lagi. Saya hanya menunggu waktu."

"Daripada mana tuan mengetahuinya perkara ini ?" tanya salah seorang paderi.

"Daripada ketua sebelum saya,"jelas ketua paderi.

"Sebelum ketua itu meninggal dunia dia sudah bersumpa bahawa perkara yang dikatakan itu adalah benar," sambung ketua paderi itu.



2 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...