Abu Yazid Al Bustami : Anak Murid Imam Hanbali Yang Hebat (Part 1)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t



Pada post kali ini, ana ingin berceritakan tentang seorang yang luar biasa kehebatannya dan beliau merupakan salah seorang anak murid Imam Hanbali yang hebat. Beliau yang dimaksudkan itu adalah Abu Yazid Al Bustami. Nak tahu sejarah beliau ? Mari kita sama-sama menghayati sejarah kehidupannya.

Abu Yazid Al Bustami dilahirkan di Bustham, wilayah Parsi. Sejak dalam kandungan ibunya lagi beliau sudah menunjukkan kelebihan yang luar biasa. Apabila ibunya termakan makanan yang diragui halalnya, anak dalam kandungannya akan memberontak sehingga makanan itu dimuntahkan semula. Sebab itu, sejak dilahirkan, ayah dan ibunya memastikan setiap makanan yang disuapkan ke mulut Abu Yazid Al Bustami dipastikan daripada punca yang halal.

Apabila berumur tujuh tahun, Abu Yazid Al Bustami dihantar ke sekolah untuk mempelajari Al Quran. Dia belajar dengan tekun. Pada suatu hari, gurunya membacakan ayat dari surah Luqman yang bermaksud, "Berterima kasihlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu."

Ayat ini sangat menggetarkan hati Abu Yazid Al Bustami, lalu beliau meminta izin gurunya untuk pulang ke rumah bagi menemui ayah dan ibunya.

"Kenapa kamu pulang ke rumah ? Apakah kamu sudah tidak berminat lagi mempelajari ilmu Al Quran ?" tanya ibunya hairan.

"Wahai ibuku, hari ini saya mempelajari ayat Al Quran yang memerintahkan agar berbakti kepadaNya juga kepada ayah dan ibu. Tetapi saya tidak dapat melaksanakan perintah itu dalam suatu masa, kerana itu saya berdoa kepada Allah semoga mengampunkan dosaku," jawab Abu Yazid Al Bustami.

"Wahai anakku, aku serahkan kamu kepada Allah dan aku bebaskan engkau daripada semua kewajipanmu terhadap ibu dan ayahmu. Pergilah kamu menuntut ilmu dan menjadi hambaNya," kata ibunya.

Barulah hati Abu Yazid Al Bustami senang dan dapat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Pada suatu hari, beliau pulang ke rumah kerana sudah lama tidak bertemu dengan ibunya. Pada malam itu, ibunya meminta diambilkan air minuman. Abu Yazid Al Bustami segera pergi mengambilkan air untuk ibunya tetapi beliau mendapati air di dalam tempayan di rumahnya sudah kering. Lalu Abu Yazid Al Bustami segera pergi ke sungai membawa sebuah bekas air. Apabila pulang ke rumah didapati ibunya tertidur kerana keletihan. Beliau tidak sampai hati mahu mengejutkan ibunya yang sedang tidur lena. Lalu dipeluknya bekas air minuman itu sehingga ibunya terjaga.

"Kenapa kamu berdiri sambil memeluk bekas air minuman itu ?" tanya ibunya hairan.

"Sebentar tadi ibu minta diambilkan air minuman. Tetapi air dalam tempayan sudah kehabisan. Lalu saya ke sungai mengambil air. Apabila pulang ibu sedang tidur. Saya terus berdiri dan memeluk bekas air minuman ini kerana takut saya juga teritdur sedangkan ibu memerlukan air minuman ini," jawab Abu Yazid Al Bustami.

Selain hormat dan sayang kepada ayah dan ibunya, Abu Yazid Al Bustami juga sangat hormat kepada gurunya. Pada suatu hari, gurunya meminta diambilkan sebuah buku yang terletak di atas jendela.

"Jendela yang mana satu wahai guruku ?" tanya Abu Yazid Al Bustami.

"Sudah lama kamu berguru denganku, apakah kamu tidak tahu rumahku ini cuma ada sebuah jendela sahaja ?" tanya gurunya pula.

"Saya datang ke sini untuk belajar ilmu dengan tuan. Apabila tuan mengajar, saya tidak pernah melihat ke arah lain selain wajah tuan. Saya tidak tahu rumah tuan cuma ada satu jendela sahaja," jawab Abu Yazid Al Bustami.

Beliau terus menuntut ilmu sehingga gurunya berjumlah 113 orang. Pada suatu hari, beliau mendengar ada seorang guru di Kufah lalu teringin untuk menuntut ilmu dengannya. Tetapi apabila bertemu dengan guru itu dilihatnya lelaki itu meludah ke arah kiblat. Beliau terus membatalkan hasratnya untuk berguru dengan lelaki itu kerana baginya meludah ke arah kiblat bermakna menghina Kaabah.

Kemudian beliau mendengar orang ramai bercerita tentang Imam Hanbali yang dibebaskan dari penjara. Beliau terus berangkat ke Baghdad untuk berguru dengannya. Apabila sampai di Masjid Jamek Kota Baghdad, Abu Yazid Al Bustami berdiri di pintu masjid sambil menangis.

"Kenapa engkau menangis wahai Abu Yazid Al Bustami ?" tanya kawan-kawannya.

"Aku berasa malu hendak masuk ke dalam masjid yang di dalamnya ada seorang ulama yang begitu hebat sedang mengajar," jawab Abu Yazid Al Bustami. Selepas berguru dengan Imam Hanbali, beliau pulang ke Bustam.


Nak tahu cerita selanjutnya ? Tunggu post yang akan datang. InsyaAllah akan ditulis pada masa akan datang. Semoga anda dapat mengambil pengajaran yang berguna dalam kisah tadi. Wallahu'alam.



Written by

0 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...