Bahaya Syiah. . . ! ! !

Assalamualaikum...


SYIAH pada bahasa bermaksud pengikut tetapi istilah kaum Syiah yang bakal ana paparkan ini bermaksud kaum yang beri'itiqad bahawa Saidina Ali KWJ adalah orang yang berhak menjadi Khalifah pengganti Nabi Muhammad SAW setelah kewafatannya kerana Baginda SAW berwasiat bahawa pengganti beliau sesudah wafat adalah Saidina Ali. Oleh itu, mereka menganggap bahawa Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khathab dan Saidina Uthman bin Affan adalah Khalifah yang tidak sah, perampas-perampas yang berdosa kerana mengambil pangkat khalifah tanpa hak dari Saidina Ali bin Abi Talib.


Fahaman Syiah merupakan kaum yang pertama muncul setelah kewafatan Rasulullah SAW dan muncul pada zaman Kuhalafa' Ar-Rasyidin lagi. Fahaman ini telah diasaskan oleh seorang pendeta Yahudi dari Yaman yang baru memeluk agama Islam. Pendeta Yahudi yang dimaksudkan itu ialah Abdullah bin Saba'. Setelah beliau memeluk agama Islam, beliau telah berhijrah ke Madinah pada akhir-akhir tahun penguasaan Khalifah Uthman bin Affan iaitu sekitar tahun 30H. Beliau mengharapkan apabila beliau tiba di Madinah, beliau akan disambut oleh Khalifah kerana beliau merupakan seorang pendeta besar Yahudi dari Yaman yang baru memeluk Islam. Namun, sangkaannya meleset kerana beliau tidak mendapat penghargaan dari Khalifah Uthman r.a. dan orang-orang besar di Madinah pada ketika itu. Maka, beliau sangatlah kesal. Sebahagian sejarawan mengatakan bahawa Abdullah bin Saba' memeluk Islam adalah bertujuan untuk menghancurkan Islam dari dalam kerana beliau tidak mampu untuk menghancurkannya dari luar. 


Oleh itu, Abdullah bin Saba' menjadi benci terhadap Saidina Uthman bin Affan dan menggerakkan gerakan anti Saidina Uthman serta berusaha menjatuhkan beliau seterusnya menggantikannya dengan Saidina Ali bin Abi Talib. Tampaknya, usaha beliau mendapat pasaran di kota-kota besar umat Islam ketika itu, seperti di Madinah, Mesir, Kufah, Basrah dan lain-lain. Ini kerana ramai orang Islam sudah tidak menyukai Saidina Uthman kerana beliau telah menghilangkan cincin stempel ( cincin cap atau lambang kerajaan ) Nabi Muhammad SAW dan juga beliau banyak mengangkat orang-orang dari suku beliau, iaitu orang-orang Bani Umaiyah menjadi ketua-ketua daerah. 


Demi cita-citanya untuk menjatuhkan dan mengalahkan Saidina Uthman bin Affan r.a., Abdullah bin Saba' telah pergi ke Mesir, Kufah, Basrah, Damsyik dan lain-lain kota untuk mengadakan propaganda tentang keagungan Saidina Ali bin Abi Talib. Beliau sangat berlebih-lebihan mengagungkan Saidina Ali KWJ dan sangat berani mengadakan hadis-hadis palsu yang bertujuan untuk mengagungkan Saidina Ali serta merendah-rendahkan Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman. Pemberontakan terhadap Saidina Uthman oleh kaum Syiah akhirnya membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman bin Affan r.a. Sehubungan dengan itu, maka naiklah Saidina Ali KWJ sebagai khalifah Islam yang keempat menurut Ahlussunnah Wal Jama'ah manakala Syiah menganggap Saidina Ali adalah khalifah Islam yang pertama kerana mereka tidak mengiktiraf ketiga-tiga khalifah sebelumnya.


Pada waktu ini, timbullah 4 golongan ketika pemerintahan Saidina Ali KWJ iaitu;

  1. Golongan Syiah dan sebahagian Ahlussunnah yang mengangkat Saidina Ali sebagai khalifah.
  2. Golongan Saidina Muawiyah bin Abi Suffian yang tidak menyokong Saidina Ali dan menganggap Saidina Ali terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman seterusnya mengangkat Saidina Muawiyah menjadi khalifah.
  3. Golongan Siti Aisyah Ummul Mukminin r.a. dan diikuti Talhah dan Zuber yang tidak menyokong Saidina Ali sebagai khalifah kerana menganggap Saidina Ali diangkat kerana paksaan tetapi tidak menyalahkan Saidina Ali dalam pembunuhan Saidina Uthman r.a.
  4. Golongan yang diketuai oleh Abdullah bin Umar diikuti Muhammad bin Salamah, Usamah bin Zaid, Saad bin Abi Waqas, Hasan bin Thabit, Abdullah bin Salam dan sahabat-sahabat lain. Golongan ini tidak menyokong mana-mana pihak.
Keempat-empat golongan ini hanya muncul dan habis di situ sahaja kecuali golongan Syiah yang sehingga kini menjadi salah satu fahaman yang bercanggah dengan fahaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

Ketika pemerintahan Saidina Ali, terjadilah peperangan yang pertama melibatkan peperangan sesama Islam iaitu peperangan Jamal dan peperangan Siffin.
  • Peperangan Jamal tercetus pada tahun 36H iaitu setahun setelah Saidina Ali menjadi Khalifah. Peperangan ini melibatkan dua tentera Islam iaitu tentera Islam yang dipimpin oleh Saidatina Aisyah, Talhah dan Zuber manakala tentera Islam yang sebelah lagi dipimpin oleh Saidina Ali bin Abi Talib. Peperangan ini bukan kecil. Saidina Ali telah membawa askarnya sebanyak 200,000 ribu orang dan Siti Aisyah juga membawa askarnya sebanyak itu. Akhirnya Saidatina Aisyah kalah. Talhah dan Zuber telah terbunuh dalam peperangan tersebut manakala Saidatina Aisyah ditawan oleh Saidina Ali. Namun begitu, Saidatina Aisyah tidak dijadikan tawanan Saidina Ali kerana Siti Aisyah dhormati  sebagai ibu dan menghantarnya kembali ke Makkah dengan segala kehormatannya.
  • Peperangan Siffin pula tercetus pada tahun 37H yang melibatkan tentera Islam yang dipimpin oleh Saidina Ali dan sebelah pihak lagi dipimpin oleh Saidina Muawiyah. Peperangan ini terjadi di suatu tempat di Iraq yang dinamakan Siffin. Peperangan ini telah menyebabkan 25000 orang tentera terkorban di pihak Saidina Ali manakala 45000 orang tentera terkorban di pihak Saidina Muawiyah. Apabila tentera Saidina Muawiyah hampir kalah, maka Saidina Muawiyah telah mengacukan tombak yang dihujungnya diikatkan dengan kitab Suci Al-Quran sebagai tanda Saidina Muawiyah ingin berdamai. Maka, Saidina Ali menerima perdamaian itu dan mengadakan perundingan.
Namun begitu, permusuhan antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyah masih berterusan sehinggalah pada tahun 40H, terjadilah suatu komplot Kaum Khawarij iaitu kaum yang tidak menyokong Saidina Ali dan Saidina Muawiyah untuk membunuh Saidina Ali dan Saidina Muawiyah sekaligus. Pembunuhan itu telah diatur pada waktu subuh yang sama tanggal 17 Ramadhan 40H iaitu pada ketika mereka itu keluar hendak sembahyang subuh di masjid. Qadar Ilahi menetukan bahawa Saidina Ali dapat dibunuh oleh Abdurrahman bin Muljan manakala Saidina Muawiyah dan Amru tidak dapat dibunuh. Saidina Ali bin Abi Talib meninggal pada 17 Ramadhan 40H dan dimakamkan di Najaf, Baghdad.

Sehingga kini kita dapat lihat fahaman Syiah ini masih lagi dianuti sesetengah umat Islam terutamanya di Iran, Iraq dan Syria. Iran merupakan negara yang majoritinya adalah Syiah manakala Iraq dan Syria hanya sebahagian sahaja. Sebahagian lagi adalah Ahlussunnah Wal Jama'ah. Sebab itu, negara Iraq selalu berlaku pertempuran yang melibatkan 2 kaum yang terbesar ini. Menurut Orientalis Barat mengatakan bahawa 'faham Syiah itu ialah faham yang mencintai Saidina Ali atau orang-orang yang mencintai ahlil bait Rasulullah'. Ini kenyataan yang keliru kerana umat Islam yang berfahaman Ahlussunnah Wal Jama'ah juga mencintai ahlil bait Rasulullah seperti yang selalu disebut dalam selawat. Wallahu'alam.

Wassalamualaikum...



Written by

0 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...