Isu Pergolakan di Syria
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana limpahan nikmat dan rahmatNya, masih memberi peluang kepada kita untuk menikmati hidup ini dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Bersyukur juga kepada Allah kerana masih mengurniakan kepada kita nikmat yang sangat besar dalam hidup kita iaitu nikmat iman dan islam.
Alhamdulillah, pada post kali ini, ana ingin menyentuh sedikit mengenai isu semasa yang sedang hangat diperkatakan di media dan laman sosial. Isu semasa yang dimaksudkan adalah peperangan yang sedang berlaku di negara Syam ataupun sekarang dikenali dengan Syria. Peperangan itu yang sudah meletus sejak 2 tahun lalu telah menyebabkan hampir ratusan ribu nyawa yang terkorban. Ini adalah bala bencana yang sangat besar yang sedang berlaku di dunia hari ini. MasyaAllah. Namun begitu, apakah yang menyebabkan berlaku peperangan saudara di Syria ini ? Apakah yang menyebabkan rakyat memberontak kerajaan Syria ? InsyaAllah ana akan memberi sedikit pandangan yang mungkin tidak seberapa ini dan mungkin juga mempunyai kesalahan yang tidak disengajakan. Sekiranya terdapat kesilapan fakta, mohon diperbetulkan.
Peperangan saudara yang berlaku di Syria itu bukanlah peperangan yang pernah berlaku seperti di Mesir dan Libya sebelum ini iaitu dalam menggulingkan kerajaan. Namun, peperangan di Syria ini lebih kepada peperangan yang melibatkan firqah aqidah yang berbeza yang merupakan pecahan dalam Islam iaitu peperangan yang melibatkan fahaman Syiah dan Ahlussunnah Wal Jamaah (ASWJ) ataupun lebih dikenali dengan Sunni. Kerajaan Syria yang diterajui oleh Bashar Al-Assad merupakan seorang pemerintah negara yang berfahaman Syiah Nusairiyah manakala majoriti rakyat Syria berfahaman Sunni. Sedangkan rakyat yang berfahaman Syiah Nusairiyah hanyalah minoriti sahaja. Apakah yang menyebabkan rakyat Syria yang berfahaman Sunni menentang Bashar Al-Assad ini ? Mengikut beberapa sumber, kebangkitan rakyat Sunni menentang Bashar Al-Assad adalah disebabkan kekejaman pemerintah itu sendiri terhadap rakyat beliau yang berfahaman Sunni. Mereka dibunuh, diseksa, dirogol dan sebagainya oleh tentera pemerintah Bashar Al-Assad. Oleh sebab itu, mereka bangkit dengan menubuhkan sebuah kumpulan baru yang diberi nama dengan Free Syrian Army (FSA) dengan tujuan untuk menumbangkan kerajaan Bashar Al-Assad dan menyelamatkan aqidah Sunni yang dianuti kebanyakan rakyat Syria.
Di zaman yang serba canggih ini, mudah sangat untuk memperoleh sesuatu maklumat yang berkaitan di Syria. Ana telah menonton beberapa video yang menunjukkan kezaliman tentera Bashar Al-Assad dan pengakuan pengikut Bashar Al-Assad mengenai pemimpin mereka itu yang dianggap sebagai tuhan mereka. Nauzubillahi min zalik. Namun begitu, ada sesetengah masyarkat kita tidak tahu mengapa berlaku peperangan antara Sunni dan Syiah ? Mengapa perlu bergaduh sesama Islam ? Bukankah Syiah itu juga Islam ? Inilah pertanyaan sesetengah masyarakat yang tidak tahu menahu mengenai Syiah. Baiklah. Di sini, ana akan cuba memberitahu serba sedikit mengenai Syiah ini.
Apa itu Syiah ?
Syiah dari segi bahasa bermaksud 'pengikut' manakala dari segi istilah bermaksud 'kaum yang beri'tiqad bahawa Saidina Ali k.w.j, adalah orang yang berhak menjadi khalifah pegganti Nabi, kerana Nabi berwasiat bahawa pengganti beliau sesudah wafat adalah Saidina Ali' ( rujukan kitab "I'itiqad Ahlussunnah Wal Jamaah", karangan K.H. Sirajuddin Abbas, m/s 77 ). Fahaman Syiah ini merupakan fahaman yang terawal wujud sebelum fahaman-fahaman lain. Fahaman Syiah ini muncul di akhir pemerintahan Khalifah Saidina Uthman bin Affan. Ianya telah diasaskan oleh seorang pendeta besar Yahudi yang berasal dari Yaman yang baru memeluk Islam iaitu Abdullah bin Saba'. Ada sesetengah pendapat pula mengatakan bahawa beliau sengaja memeluk Islam untuk merosakkan Islam dari dalam. Lalu, beliau telah berhijrah ke Madinah dan menyangka Khalifah akan memberi penghormatan kepada beliau. Namun begitu, apabila beliau sampai di Madinah, ianya tidak seperti yang dijangkakan. Khalifah Uthman bin Affan tidak memberi penghormatan yang diharapkan. Beliau berasa kesal lalu disebabkan ingin marah kepada Khalifah, beliau telah memfitnah dan mempengaruhi orang Islam untuk menentang Khalifah kerana sepatutnya yang menjadi Khalifah adalah Saidina Ali. Begitulah serba sedikit mengenai sejarah Syiah ini. Sekiranya ingin mengetahui lanjut mengenai sejarah Syiah, anda boleh membacanya di post ana yang sebelum ini yang bertajuk Bahaya Syiah.
Namun yang demikian, Syiah ini telah berpecah kepada 22 aliran. Fahaman Syiah merupakan fahaman yang paling banyak berpecah sehingga berpecah kepada 22 aliran. Di antara aliran fahaman Syiah yang terkenal sekarang ialah Syiah Imamiyah (Syiah Imam 12), Syiah Ismailiyah (Syiah Imam 7), Syiah Zaidiyah dan sebagainya. Di antara aliran-aliran ini, ada beberapa khilaf di antara mereka mengenai imam mereka dan mereka tetap juga dikenali dengan Syiah cuma berbeza dari segi keyakinan mereka terhadap imam mereka dan Imam Mahdi mereka. Mengenai huraian aliran Syiah ini, ana minta maaf kerana masih lagi tidak mempunyai ilmu mengenai mereka. Tetapi ana hanya tahu serba sedikit sahaja tentang aliran Syiah ini. Bagi Syiah Imamiyah, mereka beri'itiqad bahawa Imam mereka ada 12 orang yang bermula dengan Saidina Ali dan yang ke-12 itu adalah Imam Mahdi mereka. Syiah Ismailiyah pula beri'itiqad bahawa imam mereka ada 7 sahaja dan yang ke-7 itulah Imam Mahdi mereka. Syiah Zaidiyah pula merupakan aliran syiah yang agak ringan kerana mereka tidak mengkafirkan para sahabat tetapi memuliakan Saidina Ali melebihi Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman. Oleh itu, mereka tetap juga dikenali dengan Syiah. Wallahu'alam.
Oleh itu, untuk mengelakkan diri kita dari terpengaruh dengan fahaman Syiah ini, kita haruslah mengetahui i'itiqad mereka dan fahaman mereka. Mengetahui kesesatan Syiah yang sangat berbeza dengan fahaman ASWJ. Di antara fahaman Syiah ialah :
1. Mengkafirkan para sahabat Rasulullah kecuali 4 orang sahabat diantaranya Abu Dzar, Miqdad bin Amr dan Salman Al-Farisi. Ada juga yang pendapat mengatakan 5 orang.
2. Mengkafirkan Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman kerana menganggap mereka perampas kekhalifahan Saidina Ali.
3. Mengatakan bahawa imam mereka adalah maksum.
4. Ada juga yang berkeyakinan bahawa Saidina Ali setaraf dengan Allah. Nauzubillah.
5. Mengatakan bahawa di akhir zaman nanti, Nabi Muhammad akan lahir ke dunia bersama-sama Imam Mahdi mereka dan imam-imam mereka untuk menghapuskan orang yang zalim.
6. Mengamalkan nikah mutaah.
7. Menganggap Al-Quran sekarang tidak lengkap dan Al-Quran yang sebenar ada di tangan Imam Mahdi mereka. Al-Quran mereka mempunyai 17000 ayat.
8. Mengamalkan taqiyyah dan sebagainya lagi.
Terlalu banyak i'itiqad Syiah yang sangat berbeza dengan ASWJ. Fahaman mereka sangat jauh tersesat daripada ASWJ. Bahkan ada ulama berpendapat bahawa Syiah ini bukan lagi fahaman, ianya adalah agama baru. Ada juga yang mengatakan bahawa Syiah ini bukan lagi dari Islam dan ianya adalah fahaman yang sangat sesat dan menyesatkan. Kitab mereka yang paling popular ialah kitab Usulul Kafi yang dikarang oleh Al-Kullini. Kitab yang menjadi rujukan pengikut Syiah. Mereka juga telah mengubah ayat Al-Quran, menuduh Saidina Umar membuang ayat Al-Quran, menganggap hadis yang dikarang oleh Imam Bukhari dan Muslim adalah hadis maudhu' dan sebagainya lagi. MasyaAllah.
Sampai begitu sekali fahaman mereka yang sangat menyesatkan. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai pencinta Ahlul Bait sedangkan hakikatnya, mereka hanya menggunakan nama Ahlul Bait untuk kepentingan mereka sendiri. Ini bermaksud mereka telah berdusta dengan nama Ahlul Bait itu sendiri. Sedangkan ASWJ juga pencinta Ahlul Bait dan bagi membuktikan mereka mencintai Rasulullah dan Ahlul Bait, mereka membaca maulid, berqasidah dan memuji Rasulullah. Tetapi apa yang Syiah lakukan demi kecintaan mereka kepada Ahlul Bait ? Iaitu mereka mengkafirkan para sahabat ! Nauzubillah.
Begitulah serba sedikit ilmu ana mengenai Syiah ini. Walaupun tidak mampu berhujah panjang mengenai fahaman Syiah ini, sekurangnya kita tahu apakah fahaman Syiah ini. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak bangsa kita supaya berpegang teguh dengan Manhaj Ahlussunnah Wal Jamaah. Jangan biarkan anak bangsa kita mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah yang menyesatkan ini. Sekiranya fahaman Syiah makin menular di Malaysia, tidak mustahil suatu hari nanti, Malaysia juga akan menjadi seperti di Syria. Berdoalah semoga Malaysia terselamat dari fahaman yang menyesatkan ini termasuk fahaman yang selain dengan ASWJ iaitu Muktazilah, Khawarij, Wahabi Mujassimah, Qadariyah, Jabariyah, Murjiah dan Najariyah. Ana mendoakan semoga saudara seaqidah di Syria bersabar dengan dugaan yang menimpa dan berharap Allah memberi kemenangan kepada saudara kita di sana. Kita di sini, hendaklah berusaha dengan berdoa kepada Allah, menyebarkan ilmu tentang kesesatan Syiah ini kepada orang awam, menyekat segala penyebaran fahaman Syiah dan sebagainya yang boleh menjamin penyekatan terhadap ajaran Syiah ini.
Akhir kalam, ana ingin memohon maaf sekiranya terdapat kecacatan dalam penulisan ana ini dan diharapkan apa yang ana sampaikan ini dipandang oleh Allah. Mohon diperbetulkan sekiranya terdapat kesalahan yang tercatat sepanjang dalam penulisan ana ini. Wallahu'alam.
Wassalamualaikum w.b.t.
1 komen: