Khutbah Wida' Rasulullah SAW

Assalamualaikum...
Alhamdulillah kita berjumpa lagi pada post kali ini..
Ok..Kali ini ana ingin berkongsi dengan antum/antunna semua tentang khutbah terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah sebelum kewafatan Baginda bersempena sambutan Maulidur Rasul yang bakal disambut umat Islam seluruh dunia nanti.


KHUTBAH WIDA' RASULULLAH SAW

Masjidil Haram


WAHAI MANUSIA dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak hadir di sini pada hari ini.

WAHAI MANUSIA sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci,maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikan harta kamu yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba. Oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

BERWASPADALAH terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. Maka, berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

WAHAI MANUSIA, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

WAHAI MANUSIA dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

INGATLAH bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

WAHAI MANUSIA, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

HENDAKLAH orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikan kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-MU.


Khutbah ini telah disampaikan pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah

Allahumma Solli Wa Sallim 'ala Saidina Muhammadin Nabiyyil Ummiyyi Wa 'ala Alihi Wa Sohbihi Wa Salim
Ya Rasulullah


Begitulah khutbah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW sebelum baginda wafat di Madinah. Begitu kasih dan sayang Baginda terhadap umatnya. Baginda telah menyampaikan wasiat kepada umat Baginda sebagai panduan hidup selepas ketiadaan Baginda nanti. Al-Quran dan Sunnah merupakan dua perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah untuk umatnya supaya umat Islam tidak akan sesat sekiranya mereka berpegang teguh terhadap dua perkara tersebut.

Sesetengah masyarakat Islam hari ini yang tidak berpegang teguh terhadap Al-Quran dan As-Sunnah serta kurangnya pengetahuan dalam agama Islam mudah terjebak dalam ajaran-ajaran sesat. Oleh itu, marilah kita sama-sama mendalami lagi dan mencari ilmu agama dengan lebih terperinci lagi supaya kita tidak tergolong dalam golongan tersebut. Semoga Allah sentiasa membantu kita menjalani hidup ini dalam syariat Islam yang sempurna.

Setakat ini sajalah untuk post kali ini. Semoga antum/antunna semua dapat manfaat dari blog ana ini.

Wassalamualaikum...


Written by

0 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...