Pandangan Abdullah bin Abbas mengenai Khulafa' Ar-Rasyidin



Pandangan Abdullah bin Abbas mengenai Khulafa' Ar-Rasyidin

Abdullah bin Abbas pernah dipanggil oleh khalifah Muawiyah, khalifah Bani Umaiyah yang pertama untuk bertanyakan pendapatnya mengenai Khulafa' Ar-Rasyidin. Maka, inilah jawapan Abdullah bin Abbas mengenai mereka.

Abu Bakar As-Siddiq


"Demi Allah, Abu Bakar As-Siddiq suka membaca Al-Quran, membenci kejahatan, tidak pernah membuat maksiat dan berlaku zalim. Beliau selalu larang membuat kemungkaran, sangat ahli dalam urusan agamanya serta beliau begitu takut kepada Allah. Beliau juga sentiasa bangun pada waktu malamnya, apabila siang beliau berpuasa, sentiasa membelakangi urusan dunianya kerana lebih pentingkan urusan akhirat. Beliau dikenali rakyat kerana sikap adilnya, membuat kebaikan dalam setiap amal ibadahnya, sentiasa bersyukur dalam segala perkara, pagi dan petang lidahnya sentiasa berzikir, dan segala kepentingan diri ditinggalkan. Beliau sentiasa melebihi dalam kewarakan, kesederhanaan, kezuhudan, kecukupan, kebajikan, kelengkapan, ketaatan, dan dalam menyesuaikan diri pada semua keadaan, berbanding teman-temannya, kerana itu mudah-mudahan Allah menurunkan kutukan-Nya pada siapa yang membencinya hingga ke hari kiamat !"

Umar Al-Khattab


"Umar Al-Khattab pembela Islam, pelindung anak-anak yatim, induknya iman, beliau tempat bergantungnya orang yang lemah dan tempat rujukan semua orang yang beragama. Beliau adalah benteng bagi sekalian umat dan tempat memohon bagi semua rakyat. Beliau berjuang menegakkan hak Allah dengan penuh tekun dan sabar, hingga Allah memenagkan agama ini kepada ramai manusia, dan membuka banyak negara di bawah taklukannya. Kini, sebutan nama Allah tersebar pada setiap lembah dan negeri, pada setiap tanah rata dan bukit-bukit, pada setiap kota dan kampung halaman. Beliau selalu menjauhkan diri dari berkata keji, sentiasa bersyukur dalam keadaan susah dan senang, tidak pernah berhenti daripada mengingati Allah dan selalu menepati janji. Kerana itu, mudah-mudahan Allah menurunkan kutukan-Nya kepada siapa yang membencinya hingga ke hari penyesalan pada hari kiamat nanti !"

Uthman bin Affan


"Uthman Affan adalah semulia-mulia makhluk. Beliau suka membantu kaum keluarganya dan bersikap berani menghadapi musuh di medan perang. Pada waktu malam beliau terus dalam keadaan bersujud, apabila mengingati Tuhan bergenang air matanya, siang dan malam menanggung fikiran, sentiasa bergerak ke arah sifat yang dimuliakan, sentiasa menjauhkan diri daripada perbuatan yang mencelakakan demi memelihara diri, dan mencari keselamatan. Beliau mengeluarkan hartanya bagi membiayai bala tentera, dan membayar harga yang mahal bagi membeli sumber air untuk rakyat jelata. Beliau juga seorang yang menikahi dua puteri Nabi Muhammad yang mulia. Semoga Allah menurunkan kemurkaan-Nya ke atas siapa yang mencacinya hingga ke hari kiamat."

Ali bin Abi Talib


"Demi Allah, Ali bin Abi Talib adalah panji-panji hidayah, sarangnya taqwa, sumbernya segala akal dan kepintaran, pokok daripada segala kecantikan dan kesempurnaan. Beliau adalah cahaya yang bersinar di tengah kegelapan malam dan selalu mengajak ke jalan yang benar, serta mencari ilmu yang mendalam. Beliau ahli dalam mentafsirkan kitab-kitab dan pakar dalam pentakwilan Al-Quran yang mulia, sentiasa berpegang pada sebab-sebab petunjuk agama, selalu membelakangi sikap yang zalim ataupun suka menganiaya, selalu menjauhkan diri daripada jalan-jalan buruk dan binasa, suka mendampingkan diri kepada orang yang beriman yang taqwanya amat ketara. Beliau adalah sebaik-baik manusia kerana tinggi ilmunya. Banyak kebaikan yang dilakukannya dalam segala perkara, dan nampak jelas keadilannya apabila menjadi hakim walau di mana sahaja. Beliau bijak dalam berpidato dan berbicara, tiada siapa yang dapat mengalahkannya biar datangnya dari segala penjuru alam dan dunia, hanya yang dapat mengatasinya adalah sekalian para nabi dan rasul yang mendapat keutamaan Tuhan, khususnya Nabi Muhammad yang terpelihara dan terutama dalam semua waktu dan zaman. Ali bin Abi Talib adalah orang yang pernah bersembahyang dengan Nabi Muhammad hingga mereka menghadap ke arah dua kiblat, apakah ada orang lain yang dapat menandinginya ? Beliau menikahi semulia-mulia wanita iaitu Siti Fatimah binti Rasulullah, apakah ada orang yang dapat menyamainya ? Ali bin Abi Talib juga adalah ayah kepada dua cucunda Rasulullah yang dikasihinya, apakah ada lagi kelebihan yang lebih tinggi daripadanya ? Kedua-dua belah biji mata saya ini belum pernah melihat orang yang paling bertaqwa sepertinya, dan barangkali tidak akan dapat melihat seumpamanya hingga ke hari kiamat, hari pertemuan dengan Allah, Tuhan semesta alam. Jadi, siapa yang melaknatinya, turunlah laknat Allah dan laknat para hamba-Nya ke atas orang itu hinggalah ke hari kiamat."



Written by

0 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...