Abu Bakar As-Siddiq, Sahabat Sejati. . .

Assalamualaikum..

Pada post kali ini, ana ingin berkongsi sedikit dengan antum/antunna mengenai sejarah seorang sahabat Rasulullah yang diberi gelaran As-Siddiq. Mari kita sama-sama menghayati sejarah beliau berdasarkan sejarah ringkas ini.


Abu Bakar As-Siddiq dilahirkan pada tahun 570M. Nama sebenar beliau ialah Abdul Kaabah bin Usman. Ibunya telah bernazar sekiranya dia mendapat anak lelaki, anaknya akan dinamakan dengan Abdul Kaabah yang bermaksud hamba Kaabah. Ayah Abu Bakar bernama Usman atau lebih dikenali dengan nama Abu Quhafah daripada keturunan Bani Tamim. Digelar Abu Bakar yang bermaksud ayah unta muda kerana pada masa mudanya suka memelihara anak-anak unta. Abu Bakar mendapat gelaran As-Siddiq daripada Rasulullah SAW kerana beliau sentiasa membenarkan apa yang disampaikan oleh Baginda SAW. Gelaran tersebut diberikan setelah membenarkan dan mempercayai peristiwa Israk Mikraj yang diceritakan oleh Baginda SAW. Ibu Abu Bakar bernama Salma binti Sakhar atau dikenali dengan panggilan Ummu Khair yang bererti ibu yang baik. Jurai keturunannya bertemu dengan jurai keturunan Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Bakar bin Usman bin Amir bin Kaab bin Taim bin Murrah bin Kaab bin Luai bin Ghalib bin Fihir At-Tamimi.

Abu Bakar As-Siddiq telah dilantik menjadi khalifah Islam yang pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW pada 632M. Beliau telah meninggal dunia pada 21 Jamadil Akhir 13H bersamaan 23 Ogos 634M akibat demam.

Abu Bakar As-Siddiq dilahirkan di Kota Mekah dua tahun setengah selepas peristiwa tentera bergajah Abrahah hendak meruntuhkan Kaabah. Beliau seorang pedagang yang kaya, terpelajar seta dipandang tinggi oleh Kaum Quraisy. Selepas Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul, maka beliaulah lelaki pertama yang memeluk agama Islam.

Abu Bakar As-Siddiq antara pemeluk Islam yang pernah mengalami penyeksaan daripada orang Quraisy. Semasa berhijrah dari Mekah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW telah memilih Abu Bakar As-Siddiq menjadi teman Baginda SAW dalam perjalanan ke Madinah. Mereka bermalam dalam Gua Thsur. Anak perempuan Abu Bakar, Aisyah telah menjadi isteri Rasulullah SAW.

Ketika Nabi Muhammad SAW sakit, Baginda telah melantik Abu Bakar menjadi imam di masjid kerana Baginda tidak dapat bangun ke masjid untuk mengimamkan jemaah di masjid. Disebabkan itu, selepas Baginda SAW wafat, Abu Bakar As-Siddiq dilantik menjadi khalifah. Ketika itu umat Islam mula berpecah. Ada yang menjadi murtad, enggan membayar zakat dan mengaku menjadi nabi. Keadaan menjadi bertambah tegang apabila ada yang berasa mereka lebih layak menjadi khalifah. Mujur Abu Bakar As-Siddiq dapat mengatasi masalah itu satu per satu.

Walaupun Khalifah Abu Bakar memerintah selama 2 tahun 3 bulan 10 hari sahaja, namun beliau sudah berjaya menundukkan mereka yang murtad, enggan membayar zakat dan mengaku menjadi nabi. Setelah berjaya mengatasi masalah dalaman, beliau telah menumpukan perhatian kepada kerajaan Rom dan Parsi yang sekian lama mengancam kerajaan Islam. Di bawah pimpinan panglima tentera Khalid Al-Walid dan Usamah bin Zaid, tentera Islam berjaya mengalahkan tentera Parsi dan Rom.

Jasa Khalifah Abu Bakar yang paling besar ialah mengumpulkan semula ayat-ayat Al-Quran. Ini berlaku selepas para huffaz ramai yang terbunuh dalam peperangan. Kerana bimbang umat Islam akan kehilangan ayat-ayat suci itu, maka Khalifah Abu Bakar As-Siddiq menyuruh Umar Al-Khatab dan sahabat-sahabtanya mengumpulkan semua ayat Al-Quran.

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq mentadbir negara Islam dengan membahagikannya kepada beberapa bahagian antaranya Mekah, taif, Sana'a, Hadramaut, Halwan, Rima', Hajran, Jash dan Bahrain. Beliau melantik wakil-wakil pada setiap bahagian itu. Mereka menjadi imam, pentadbir, menjalankan keadilan, menyelesaikan perselisihan dan sebagainya.

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dibantu oleh para sahabat, iaitu Umar Al-Khatab sebagai pembantunya, Abu Ubaidah Al-Jarrah menjaga perbendaharaan negara, Uthman bin Affan dan Zaid bin Thabit sebagai setiausaha dan juru tulisnya. Sebelum sesuatu keputusan dibuat, Khalifah Abu Bakar berunding dahulu dengan sahabat-sahabatnya itu.

Khalifah Abu Bakar masih menjalankan perniagaan bagi menampung perbelanjaan keluarganya selepas dilantik menjadi khalifah. Kemudian Umar Al-Khatab mencadangkan Khalifah Abu Bakar diberikan elaun daripada perbendaharaan sebanyak 6,000 dirham setahun supaya beliau dapat menumpukan sepenuhnya kepada tugasnya sebagai khalifah. Tetapi selama 2 tahun pemerintahnnya, beliau hanya mengambil 8,000 dirham sahaja. Selebihnya dipulangkan semula kepada perbendaharaan. Sebelum meninggal dunia beliau telah berwasiat supaya tanahnya dijual dan duitnya diserahkan kepada perbendaharaan bagi menggantikan semula wang yang sudah dikeluarkan itu.

Walaupun Khalifah Abu Bakar As-Siddiq memegang tampuk pemerintahan Islam, namun beliau memilih hidup yang sederhana. Beliau tetap meluangkan masa pergi membeli barang-barang keperluan keluarganya dan mengimamkan jemaah di Masjid Nabi Madinah.

Sebelum Khalifah Abu Bakar meninggal dunia, beliau telah mewasiatkan bahawa Umar Al-Khatab akan memegang tampuk pemerintahan Islam selepasnya. Dengan ini dapat mengelakkan berlakunya perebutan kuasa selepas pemergian Khalifah Abu Bakar As-Siddiq.

Wallahu'alam..
Wassalamualaikum...



Written by

0 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...