Couple. . . ? ? ?

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana masih mengizinkan kita untuk hidup di atas muka bumi Allah ini. Gunalah nikmat hidup ini untuk menunaikan ibadah kepada-Nya dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Pada post kali ini, ana ingin berkongsi sedikit pendapat dan menerangkan kepada antum/antunna mengenai gejala 'couple' dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Malaysia.

Umumnya, semua orang sudah mengetahui maksud 'couple' itu. Pekataan 'couple' ini mempunyai banyak maksud dan maksud yang paling utama adalah menunjukkan pasangan ataupun sepasang. Ia menunjukkan sepasang manusia ataupun sepasang sesuatu benda. Tetapi dalam konteks gejala 'couple' yang semakin berleluasa dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia ini menunjukkan sepasang kekasih yang saling suka menyukai antara mereka sebelum mereka berkahwin. Perbuatan 'couple' ini kebanyakannya melibatkan pemuda-pemudi ataupun para remaja yang berumur melebihi 15 tahun. Tetapi kini, gejala 'coupel' semakin merebak sehingga para pelajar yang masih bersekolah rendah turut terlibat dalam gejala ini. 'Couple' ini sudah menjadi trend di dalam masyarakat kita hari ini dalam kalangan para remaja. Mereka akan mencari pasangan-pasangan mereka sama ada lelaki mencari perempuan ataupun perempuan mencari lelaki untuk dijadikan sebagai kekasih mereka. Malah, ada juga yang sampai berani mengisytiharkan diri mereka sebagai pasangan yang sedang bercinta. Siap ada orang yang menyokong lagi. Astaghfirullahal'azim.

Adakah antum/antunna semua tahu apakah hukum 'couple' ini..??
Kebanyakan daripada antum/antunna sudah mengetahui hukum yang sebenar dan ada juga yang masih lagi keliru mengenai hukum 'couple' ini. Terdapat ramai yang menceritakan mengenai gejala dan hukum 'couple' ini di dalam blog-blog dan website-website mereka. Ada yang mengatakan bahawa hukumnya haram dan ada juga yang mengatakan tidak haram. Setiap daripada mereka ada hujah-hujah yang tersendiri. Sehubungan dengan itu, pada post kali ini, ana ingin melontarkan sedikit buah fikiran ana mengenai gejala dan hukum 'couple' ini walaupun ana tahu yang ana masih lagi muda. Oleh itu, ana memohon kepada antum/antunna untuk menegur dan memperbetulkan sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan yang ana lakukan sepanjang post ini. Semoga kita mendapat manfaat bersama.

Baiklah.
Berdasarkan pengetahuan dan pembacaan ana, dapatlah ana simpulkan bahawa hukum 'couple' itu diambil oleh kebanyakan ustaz-ustaz berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam ayat Al-Quran:

" Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk "
( Surah Al-Isra', ayat 32 )


Di dalam ayat tersebut, Allah telah melarang umat Islam supaya jangan mendekati zina. Apatah lagi kalau melakukan zina. Sudah pasti Allah melarang dengan sekeras-kerasnya kerana perbuatan ini akan merosakkan keturuna umat Islam. Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, dapatlah kita pastikan bahawa 'couple' itu merupakan sesuatu perbuatan yang boleh mendekati zina dan hukumnya adalah HARAM. Buktinya kita dapat lihat apabila sepasang kekasih yang sedang bercinta itu ataupun yang sedang 'couple' itu, pada mulanya mereka hanya akan bermesej-mesej melalui handphone mereka. Selepas itu, mereka akan mula keluar bersama-sama berdua-duaan ke tempat-tempat yang tertentu. Selepas itu, berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan sesama mereka, berpeluk-pelukan, bercium dan akhirnya jatuh ke kancah maksiat zina. Apabila si perempuan mengandung, si lelaki tidak mahu bertanggungjawab. Jadi, si perempuan mengambil keputusan untuk membuang bayi tersebut ataupun membunuh bayi tersebut.
Tidakkah antum/antunna nampak kejam perbuatan ini..??
Sudahlah dosa berzina dia dapat, dosa membunuh bayi yang tidak bersalah itu pun dia dapat. Sungguh berat azab yang bakal menimpa jika mereka tidak bertaubat. Masya-Allah. Semoga kita tidak terlibat dalam dosa ini. Antumn/antunna nampakkan..??
'Couple' itu merupakan pembuka jalan yang membawa kepada zina Sebab itu, kebanyakan menyatakan hukum 'couple' ini adalah haram.

Namun begitu, ada juga yang menjawab kononnya mereka hanya bermesej-mesej dalam handphone sahaja. Katanya mereka tidak pernah keluar berdua-duaan, berpegangan tangan ataupun bersentuhan. Mereka hanya 'couple' secara mesej sahaja. Jadi, mereka menganggap mereka tidak terjebak dalam kancah maksiat zina ini. Persoalan ana, yakinkah kita mampu menahan godaan syaitan?
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, sabda Nabi Muhammad SAW maksudnya:
" Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti dan tidak menuruti.. "
( Hadis Nabi SAW )

Jawapan bagi pernyataan mereka tadi seperti di bawah ini. Cubalah antum/antunna renung-renungkan.

  • Orang yang sedang ber'couple' ini tidak mungkin menundukkan pandangan terhadap kekasihnya.
  • Orang yang sedang ber'couple' ini biasanya berdua-duaan dengan pasangan kekasihnya, baik di dalam ataupun di luar rumah.
  • Perempuan akan bersikap manja dan mendayukan suaranya saat bersama kekasihnya.
  • Orang yang sedang ber'couple' ini akan membuatkan mereka saling menyentuh antara lelaki dan perempuan walaupun hanya sekadar berjabat tangan.
  • Orang yang sedang ber'couple' ini tidak akan terlepas daripada selalu membayangkan orang yang dicintainya dan inilah dinamakan zina hati.
Baiklah. Zina hatilah yang ramai tidak tahu. Membayangkan orang yang dicintainya dan perasaan rindu pada kekasihnya memang tidak dapat dielakkan oleh mereka yang sedang ber'couple' ini. Jadi, jangan menganggap bahawa mereka tidak terjebak dengan zina. Zina hati sudah tentu mereka akan lakukan.
Bukankah begitu antum/antunna..??

Tetapi, ada juga yang masih tidak puas lagi dengan pernyataan ini mengatakan bahawa bukankah fitrah manusia itu saling suka menyukai antara lelaki dan perempuan?
Jadi, tidak salahlah ber'couple'.
Betulkah begitu..??
Menjawab sahaja mereka ini.
Yela, mereka mahu juga ber'couple'.
Baiklah.
Memang benar Allah telah menjadikan fitrah manusia itu ingin disayangi dan menyayangi. Memang tidak dinafikan bahawa fitrah manusia, yang lelaki akan tertarik dengan perempuan dan yang perempuan akan tertarik dengan lelaki. Tetapi bukanlah dengan cara ber'couple'. Islam telah menggariskan panduan dalam menyalur fitrah manusia ini ke jalan yang diredhai Allah iaitu dengan cara berkahwin. Berkahwinlah jikalau antum/antunna sudah mampu dan berpuasalah jika antum/antunna tidak mampu kerana berpuasa itu dapat menahan nafsu kita.
Ummi ana pernah memberi nasihat kepada ana semasa ana meningkat remaja. Ummi ana memberitahu bahawa zaman remaja nanti, sudah tentu lelaki akan mempunyai perasaan terhadap perempuan dan perempuan akan mempunyai perasaan terhadap lelaki. Ummi ana sendiri tidak menafikannya. Cuma ummi ana sudah berpesan kepada ana sekiranya terdetik di dalam hati kita perasaan terhadap seseorang yang berlainan jantina, maka ucaplah Astaghfirullahal'azim dan mintalah perlindungan daripada Allah kerana ianya merupakan panahan syaitan yang mendorong manusia melakukan dosa. Dengan ini, Allah akan menjadi pelindung kita dan menghilangkan perasaan itu. Semoga nasihat ini bermanfaat kepada antum/antunna.

Perkahwinan merupakan benteng zina
Namun begitu, ada juga sesetengah yang ber'couple' ini menyatakan mereka ber'couple' hanya untuk mengenali antara satu sama lain sebelum mereka berkahwin dan ada yang menganggap bahawa ber'couple' ini merupakan mereka sedang bertunang.
Kalau begitu, mengapa lepas ber'couple', mereka bertunang pula..??
Tadi mereka kata 'couple' itu sama dengan bertunang. Ini yang mengelirukan ana.
Persoalan ana adakah 'couple' dan tunang itu sama..??
Adakah ini menjadi lesen mereka untuk bebas bersama-sama dengan pasangan mereka..??
Pada pendapat ana, 'couple' dan tunang adalah berbeza. Tengok ejaan dan bahasa pun sudah berbeza. Ini kerana 'couple' itu tidak mempunyai ikatan yang sah dan mudah untuk bertukar-tukar pasangan manakala tunang pula mempunyai ikatan yang sah dan terdapat persetujuan di antara dua pihak keluarga serta memang pasti mereka akan berkahwin selepas itu. Jarang yang tidak dapat meneruskan perkahwinan selepas bertunang. Bertunang merupakan satu medium bagi lelaki dan tunangnya itu untuk mengenali lebih dekat. Tetapi, bertunang yang dilakukan zaman sekarang amat bercanggah dengan syariat Islam. Oleh sebab mereka dah mempunyai ikatan pertunangan yang sah, senang-senang je mereka keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan dan macam-macam lagi. Ini akan jadi pertunangan ini haram. Bertunang bukan lesen untuk melakukan semua itu. Hanya akad nikah yang sah sahaja menjadi lesen untuk melakukan perkara tersebut. Semasa bertunang, sekiranya lelaki ingin berjumpa dengan perempuan, tunangannya itu, maka perempuan tersebut mestilah ditemani oleh ahli keluarganya dan berjumpa hanya sekadar keperluan sahaja. Bertunang menunjukkan bahawa perempuan sudah di'cop' dan tidak boleh dirampas oleh lelaki lain. Itulah maksudnya. Bukan sebagai lesen untuk keluar berdua-duaan.

Sungguhpun begitu, bagi sesiapa yang masih tidak berpuas hati lagi dengan pendapat ini, ana ingin mengeluarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud:

" Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka "
( Hadis Riwayat Imam Abu Daud )

Antum/antunna tahu apa kaitannya dengan hukum ber'couple' ini..??
Ya.
Dari manakah asal istilah 'couple' itu..??
Sudah tentu antum/antunna tahu bahawa istilah 'couple' itu berasal daripada musuh Islam. Yahudi dan Nasrani sengaja mewujudkan istilah ini bagi merosakkan akhlak remaja-remaja Islam.
Tidakkah antum/antunna rasa begitu..??
Mereka memperdayakan remaja-remaja Islam dengan membawa masuk gejala ini dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Malaysia dan memperlihakan kebaikan 'couple' ini sedangkan kesan disebaliknya amatlah membimbangkan. Adakah antum/antunna mahu termasuk dalam golongan mereka..?? Jikalau tidak mahu, maka ana nasihatkan supaya berhentilah dan bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Tidak terlambat lagi untuk kita berubah ke arah yang lebih baik. Jadi, marilah bersama-sama membanteras gejala ini untuk menyelamatkan remaja-remaja Islam di luar sana. Jikalau antum/antunna setuju dengan pendapat ana ini, maka sebarkanlah kepada semua orang supaya mereka tahu akan hal ini. Semoga Allah merahmati dan memberi ganjaran pahala kepada antum/antunna.

Walaupun ana tahu kenyataan ini akan membuatkan ramai yang terasa termasuk rakan-rakan yang mengenali ana ini, tetapi sudah menjadi tanggungjawab ana untuk memberi nasihat dan 
menegur kesilapan mereka. Ana hanyalah insan yang lemah dan masih lagi mencari ilmu sebagai panduan hidup. Kemungkinan ada yang akan membenci diri ana kerana kenyataan ini. Tetapi ingatlah, sekiranya seluruh manusia tidak redha dengan apa yang ana buat tetapi Allah redha dengan apa yang ana buat maka ana akan pilih redha Allah dan tetap dengan pendirian ana. Sesungguhnya redha Allah itu lebih besar daripada redha manusia. Wallahu'alam.

Wassalamualaikum...


Written by

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...