Ahlussunnah Wal Jama'ah Pegangan Aqidah Islam yang Sebenar. . .
Assalamualaikum...
Ahlussunnah Wal Jama'ah merupakan aqidah Islam yang paling benar dan merupakan di antara 73 firqah yang berpecah dalam umat Nabi Muhammad SAW. Firqah Ahlussunnah Wal Jama'ah merupakan firqah yang memenuhi ajaran Islam yang sebenar. Ahlusunnah bermaksud Penganut Sunnah Nabi manakala Wal Jama'ah bermaksud Dan Para Sahabat seluruhnya. Jadi, kaum Ahlussunnah Wal Jama'ah ataupun lebih dikenali sebagai Sunni adalah kaum yang menganut ajaran Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW. I'itiqad (kepercayaan) Nabi Muhammad SAW dan Para Sahabat itu telah termaktub dalam Al-Quran dan dalam Sunnah Rasulullah SAW secara tidak terkumpul atau belum tersusun secara rapi dan teratur, tetapi telah dikumpulkan dan dirumuskan dengan teliti oleh seorang ulama' Usuludin yang besar, iaitu Syeikh Abu Hasan 'Ali Al-Asy'ari ( lahir di Basrah tahun 260H dan meninggal dunia juga di Basrah pada tahun 324H ketika berumur 64 tahun ).
Oleh sebab itu, kaum Sunni ini juga dikenali dengan sebagai kaum "Asy'ariah" kerana i'itiqad ini dipelopori oleh Syeikh Abu Hasan 'Ali Al-Asy'ari. Kaum Sunni juga dipelopori oleh seorang lagi ulama' usuluddin yang besar iaitu Syeikh Abu Mansor Al-Maturidi. Kaum Ahlussunnah Wal Jamaah ini muncul pada sekitar abad ke-3 Hijrah dengan tujuan menentang fahaman Muktazilah dan Mujassimah yang berkuasa menyesatkan umat Islam pada masa itu. Sehingga kini, kedua-dua tokoh Islam ini menjadi ingatan umat Islam sebagai penegak fahaman Islam yang sebenar iaitu fahaman Ahlussunnah Wal Jama'ah. Jasa kedua-dua tokoh besar Islam ini tidak harus kita lupakan kerana merekalah, kita berada di landasan Islam yang sebenar. Kebanyakan penduduk Islam di dunia masih berpegang pada fahaman ini manakala fahaman lain hanyalah minoriti sahaja. Namun, perlu diingatkan supaya berhati-hati dengan fahaman yang bukan Ahlussunnah Wal Jama'ah kerana mereka sedang berusaha untuk menarik lebih ramai umat Islam keluar daripada fahaman Sunni.
Pada abad-abad berikutnya, muncullah ulama'-ulama' besar kaum Ahlussunnah Wal Jama'ah yang menyebarkan fahaman ini ke seluruh dunia, diantaranya:
- Imam Abu Bakar Al-Qaffal (meninggal dunia 365H)
- Imam Abu Ishaq Al-Asfaraini (meninggal dunia 411H)
- Imam Al-Hafizh Al-Baihaqi (meninggal dunia 458H)
- Imam Haramain Al-Juwaini (meninggal dunia 460H)
- Imam Al-Qasim Al-Qusyairi (meninggal dunia 465H)
- Imam Al-Baqilani (meninggal dunia 403H)
- Imam Al-Ghazali (meninggal dunia 505H)
- Imam Fakhruddin (meninggal dunia 606H)
- Imam Izzuddin bin Abdussalam (meninggal dunia 660H)
Bagi fahaman Ahlussunnah Wal Jama'ah, mazhab Feqah yang sebenar adalah Mazhab Imam-imam Hanbali, Maliki, Syafie dan Hanafi.
Mari kita lihat fahaman dan mazhab yang dianuti di seluruh negara-negara.
- Morocco ( dulu dikenali sebagai Maghribi ) - Mazhab Maliki/Sunni
- Algeria - Mazhab Hanafi/Sunni
- Tunisia - Mazhab Hanafi/Sunni
- Libya - Mazhab Hanafi/Sunni
- Turki - Mazhab Hanafi/Sunni
- Mesir - Mazhab Hanafi dan Syafie/Sunni
- Iraq - Mazhab Hanafi/Sunni dan sebahagian kecil adalah Syiah (Najaf-Karbala)
- India - Mazhab Hanafi/Sunni
- Pakistan - Mazhab Hanafi/Sunni dan sebahagian kecil adalah Syiah Isma'iliyah (Agha Khan)
- Indonesia - Mazhab Syafie/Sunni
- Filipina - Mazhab Syafie/Sunni
- Thailand - Mazhab Syafie/Sunni
- Malaysia - Mazhab Syafie/Sunni
- Somalia - Mazhab Syafie/Sunni
- Sudan - Mazhab Hanafi/Sunni
- Nigeria - Mazhab Hanafi/Sunni
- Afghanistan - Mazhab Hanafi/Sunni
- Lubnan - Mazhab Hanafi/Sunni dan sebahagian adalah Syiah
- Yaman - Syiah Zaidiyah dan sebahagian Sunni/Mazhab Syafie
- Iran - Syiah
- Soviet - 90% Sunni/Mazhab Hanafi manakala 10% lagi adalah Syiah
- Saudi Arabia - [ Hijaz - Mazhab Syafie dan Hanafi/Sunni dan sedikit Mazhab Hanbali/Wahabiyyah ], [ Riyadh - Mazhab Hanbali/Wahabiyyah ]
Begitulah serba sedikit secara umumnya. Secara amnya, sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia adalah penganut ajaran Ahlussunnah Wal Jama'ah. Secara umumnya kita ketahui, bahawa aqidah Islam yang sebenar-benarnya adalah Ahlussunnah Wal Jama'ah dan selain daripada itu adalah tidak benar. Oleh itu, berpeganglah kepada aqidah ini agar kita terselamat dunia dan akhirat. InsyaAllah pada post yang akan datang, ana akan ceritakan mengenai firqah-firqah lain yang bertentangan dengan Ahlussunnah Wal Jama'ah.
Jikalau ingin mengetahui firqah-firqah selain Ahlussunnah Wal Jama'ah secara ringkas, antum/antunna boleh meng'klik' link di bawah ini.
Wallahu'alam.
Wassalamualaikum...
0 komen: