Wahabiyyah Bertentangan dengan Ahlussunnah Wal Jama'ah

Assalamualaikum...

Pada post kali ini, ana ingin berkongsi kepada antum/antunna mengenai firqah Mujassimah ataupun lebih dikenali sebagai Wahabiyyah.
Mari kita lihat dahulu sejarah wujudnya firqah ini.

Wahabiyyah ini diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahab yang lahir di sebuah desa bernama 'Ainiyah' pada tahun 1115H berdasarkan buku "Kasyfus Subhat" yang ditulis oleh cucu beliau iaitu Abdul Latif bin Ibrahim Ali Syeikh. Beliau berasal dari kabilah Bani Tamim dan meninggal dunia pada 1206H. Pada awalnya, beliau telah menuntut ilmu di Makkah dan Madinah dengan gurunya yang bernama Syeikh Muhammad Sulaiman Al-Kurdi, Syeikh Abdul Wahab ( bapanya sendiri ) dan Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahab ( abangnya sendiri ). Kesemua guru, bapa dan abang Muhammad bin Abdul Wahab ini berfahaman Ahlussunnah Wal Jama'ah berdasarkan buku "As Shawa'iqul Ilahiyah Firraddi Al-Wahabiyyah" ( Petir yang membakar untuk menolak fahaman Wahabi ), karangan abangnya sendiri, Sulaiman bin Abdul Wahab.

Pada usia mudanya, beliau sering membaca buku-buku yang dikarang oleh Ibnu Taimiyah ( Pelopor fahaman Mujassimah ) dan lain-lain yang sesat. Jarak antara Ibnu Taimiyah dan Muhammad bin Abdul Wahab adalah 478 tahun, sekitar 4 abad lamanya. Setelah beliau dewasa, beliau telah pergi ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji dan kembali ke Ainiyah sesudah itu. Keadaan ini berbeza dengan Muhammad Abduh ( seperti yang kita ketahui dalam subjek sejarah ) di Mesir, penganut fahaman Ibnu Taimiyah yang tidak pernah menunaikan haji walaupun telah beberapa kali berulang-alik ke Paris. Kemudian, Muhammad bin Abdul Wahab pergi ke Makkah untuk kali kedua dan pada kali ini, beliau tinggal lama di situ untuk menuntut ilmu di Makkah dan Madinah. Menurut beliau, pada kali yang kedua inilah beliau banyak melihat di Madinah, amalan-amalan ataupun ibadat-ibadat orang Islam di hadapan makam Nabi Muhammad SAW yang bertentangan dengan syariat Islam.

Kemudian, beliau telah berpindah ke Basrah dan menyebarkan fatwa-fatwa yang ganjil tetapi beliau telah diusir oleh pemerintah Basrah dan dikeluarkan dari Kota Basrah. Kemudian, beliau telah berguru dengan Syeikh Abdullah bin Abdul Latif di Hassa. Kemudian, beliau berpindah ke Huraimalah, iaitu sebuah desa kecil di Nejdi ( Riyadh ). Pada mulanya, beliau telah menyebarkan fatwanya di tempat kelahiran beliau iaitu di Ainiyah tetapi rajanya Usman bin Ahmad bin Ma'mar telah mengusirnya dan berusaha untuk membunuhnya. Namun, beliau berjaya berpindah ke Dur'iyah. Raja Dur'iyah, Muhammad bin Sa'ud telah menolong Muhammad bin Abdul Wahab untuk menyebarkan fahaman-fahamannya kerana Raja Dur'iyah memerlukan seorang ulama' yang dapat mengisi rakyatnya dengan ideologi-ideologi yang keras, demi untuk memperkukuhkan pemerintahan dan kekuasaannya manakala Muhammad bin Abdul Wahab memerlukan seorang pemerintah untuk menyebarkan fahaman beliau.

Ketika di Dur'iyah, ramailah pengikut Muhammad bin Abdul Wahab ini yang terdiri daripada penduduk padang pasir sehingga menjadi kekuasaan yang tidak dapat dinafikan oleh Turki dan syarif-syarif di Makkah ketika itu. Pada suatu ketika, Muhammad bin Sa'ud telah mengirim delegasinya ke Makkah pergi menemui syarif Makkah, Syarif Mas'ud sambil mengerjakan haji. Delegasi ini telah menyebarkan fatwa-fatwa wahabi dan ditangkap oleh syarif Makkah lalu membunuh sebahagiannya manakala sebahagiannya pulang ke Dur'iyah melaporkannya kepada Muhammad bin Sa'ud. Maka, bermulalah api permusuhan antara kaum Wahabi dan syarif-syarif di Makkah pada ketika itu.

Muhammad bin Abdul Wahab menfatwakan bahawa orang-orang yang ada di Makkah itu kebanyakannya adalah kafir kerana mereka bertawasul di hadapan makam Nabi Muhammad SAW, menziarahi makam Nabi, berdoa menghadap Nabi, memuji-muji Nabi, membaca kisah-kisah maulud berzanji dan akhir sekali mereka dikafirkan kerana tidak mengikut Muhammad bin Abdul Wahab. Pernah pada suatu ketika, berlaku perdebatan antara Muhammad bin Abdul Wahab dengan abangnya Sulaiman bin Abdul Wahab, mengenai soal kafir-mengkafir.

Sulaiman: "Berapa rukun Islam ?"
Muhammad: "Lima."
Sulaiman: "Tetapi kamu menjadikannya enam!"
Muhammad: "Apa?"
Sulaiman: "Kamu menfatwakan bahawa siapa yang mengikutmu adalah mukmin dan yang tidak sesuai dengan fatwamu adalah kafir."

Muhammad terdiam dan marah. Lalu beliau berusaha menangkap abangnya dan akan membunuhnya tetapi Sulaiman bin Abdul Wahab berjaya melarikan diri ke Makkah dan mengarang buku. Muhammad bin Abdul Wahab pada permulaan fatwa-fatwanya banyak mengkafirkan orang-orang yang tidak mahu menerima fatwanya. Sejak beliau menyebarkan fatwanya di Dur'iyah, beliau tidak mahu lagi pergi ke Makkah dan Madinah kerana tidak mahu melihat orang-orang di Makkah dan Madinah membuat 'maksiat'. 'Maksiat' yang dikatakannya itu ialah pergi menziarahi makam Nabi, berdoa dan bertawasul dengan Nabi. Muhammad bin Abdul Wahab mengatakan semua perbuatan ini adalah syirik ataupun menghampiri syirik.

Kaum Wahabi telah dua kali menguasai Hijaz ( yang kini berada dalam negara Saudi Arabia ), iaitu pada tahun 1803M hingga 1813M dan 1925M hingga sekarang.

Sampai di sini sahaja mengenai sejarah ringkas fahaman Wahabi. Sebenarnya fahaman ini telah diasaskan oleh Imam Ibnu Taimiyah sebelum ini, namun fahamannya tidak tersebar disebabkan fahaman ini mendapat tentangan yang hebat dari pemerintah Islam. Tetapi, Muhammad bin Abdul Wahab telah menghidupkan kembali fahaman ini setelah sekian lamanya Ibnu Taimiyah meninggal dunia. Wallahu'alam.

Wassalamualaikum...

Sumber: Buku "I'itiqad Ahlussunnah Wal Jama'ah", karangan Kiyai Haji Sirajuddin Abbas


Written by

0 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...