Mari Mengenal Keperibadian Rasulullah
AKHLAK RASULULLAH
“Rasulullah SAW tidak pernah berteriak-teriak di pasar. Baginda tidak pernah membalas keburukan dengan keburukan; beliau selalu memaafkan dan bersikap lapang dada.”( Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad )
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT
kerana masih lagi menghidupkan kita di atas muka bumi ini. Pada post kali ini,
ana ingin menceritakan berkenaan akhlak dan keperibadian Rasulullah yang harus kita contohi dalam
kehidupan kita.
Rasulullah SAW mempunyai akhlak yang sangat
terpuji yang boleh kita contohi. Akhlak Rasulullah banyak diceritakan dalam
hadis-hadis yang diriwayatkan oleh sahabat Baginda. Marilah kita mendalami hadis-hadis di bawah ini untuk mengenal lebih dekat akhlak dan keperibadian Baginda, Nabi Muhammad SAW.
1. Rasulullah melayan keluarga baginda dengan baik.
Kharijah bin Zaid bin Tsabit meriwayatkan, maksudnya:
"Sekelompok orang mendatangi Zaid bin Tsabit, lalu mereka berkata, 'Ceritakanlah kepada kami tentang Rasulullah SAW.' Zaid menjawab, 'Apa yang harus saya ceritakan? Saya adalah tetangga Rasulullah SAW. Ketika wahyu turun, beliau selalu memanggil saya untuk menuliskan wahyu itu untuknya. Ketika kami membicarakan persoalan-persoalan dunia, beliau pun membicarakannya bersama kami. Ketika kami membicarakan persoalan-persoalan akhirat, beliau pun membicarakannya bersama kami. begitu pula ketika kami membicarakan makanan; beliau pun bersama kami membicarakannya. Semua itulah yang saya mampu ceritakan kepada kalian tentang Rasulullah SAW.' "
( Riwayat Tirmidzi, Bagawi dan Thabrani )
2. Rasulullah bersikap ramah dan sentiasa jujur.
Amru bin Ash r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Rasulullah SAW selalu menghadapkan wajah dan bersikap ramah, bahkan kepada orang-orang yang berperilaku paling buruk. Tujuan Baginda adalah untuk menarik hati mereka. Baginda juga menghadapkan wajah dan bersikap ramah kepada saya hingga saya merasa menjadi orang terbaik bagi Baginda. Maka saya bertanya, 'Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih baik; saya atau Abu Bakar?' Baginda menjawab, 'Abu Bakar.' Kemudian, saya bertanya lagi, 'Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih baik; saya atau Umar?' Baginda menjawab, 'Umar.' Saya bertanya lagi, 'Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih baik; saya atau Uthman?' Baginda menjawab, 'Uthman.' Saya tahu Rasulullah SAW menjawab pertanyaan saya dengan jujur. Maka, sungguh, saya menyesal telah menanyakannya."
( Riwayat Tirmidzi dan Thabrani )
3. Rasulullah tidak pernah mencela.
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Saya menjadi pembantu Rasulullah SAW selama 10 tahun. Baginda sama sekali tidak pernah mencela dengan kata, 'Ah,' terhadap apa pun yang saya perbuat, Baginda tidak pernah bertanya, 'Mengapa kau lakukan hal ini?' Dan terhadap apa pun yang saya tinggalkan, Baginda juga tidak pernah bertanya, 'Mengapa tidak kau lakukan hal ini?' Sungguh, Rasulullah SAW adalah manusia yang paling baik akhlaknya. Tidak pernah saya menyentuh kain katun, sutera, atau apa pun yang melebihi lembutnya telapak tangan Baginda. Tidak pernah pula saya mencium minyak misik atau wewangian apa pun yang lebih harum daripada aroma keringat Rasulullah SAW."
( Riwayat Tirmidzi, Baghawi, Bukhari dan Muslim )
4. Rasulullah menjaga hati dan perasaan seseorang.
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Pernah hadir di sisi Rasulullah SAW seseorang yang pada dirinya ada bekas shuffrah ( wewangian berwarna kuning terbuat dari za'faran ). Rasulullah SAW sendiri hampir tidak pernah mengungkapkan apa yang tidak Baginda senangi langsung kepada orang yang bersangkutan. Maka ketika orang itu pergi, Baginda bersabda kepada orang-orang yang hadir, 'Sebaiknya kalian katakan kepadanya untuk tidak memakai shuffah.' "
( Riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Nasa'i )
5. Rasulullah tidak pernah berteriak, tidak pernah berdendam dan selalu memaafkan.
Aisyah r.a. meriwayatkan, maksudnya:
" Rasulullah SAW bukanlah orang yang keji dan Baginda tidak pernah berbuat keji. Baginda tidak pernah berteriak-teriak di pasar. Baginda tidak pernah membalas keburukan dengan keburukan; Baginda selalu memaafkan dan bersikap lapang dada."
( Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad )
6. Rasulullah tidak pernah memukul dengan tangannya.
Aisyah r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesuatu dengan tangannya kecuali ketika Baginda berjuang di jalan Allah. Baginda pun tidak pernah memukul seorang pembantu atau perempuan."
( Riwayat Tirmidzi, Muslim, Ibnu Majah, Darami dan Ahmad )
7. Rasulullah tidak pernah marah melainkan sesiapa yang melanggar larangan Allah.
Aisyah r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Saya sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW berusaha untuk membalas kezaliman yang beliau terima, selama hal itu tidak menyebabkan larangan Allah dilanggar. Jika larangan Allah dilanggar, maka beliaulah yang paling keras mengungkapkan kemarahan. Jika Baginda dihadapkan kepada 2 pilihan, maka Baginda akan memilih yang paling mudah selama ( hal yang lebih mudah itu ) tidak menyebabkan dosa."
( Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad )
8. Rasulullah melayan tetamu dengan ramah.
Aisyah r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Suatu hari, ketika saya sedang bersama Rasulullah SAW, seseorang datang dan meminta izin untuk menemui Baginda. Baginda bersabda ( kepada saya ), 'Ini adalah orang paling buruk di kaumnya.' Kemudian Baginda mempersilakannya masuk dan memperlakukannya dengan ramah. Ketika orang itu telah pergi, saya bertanya, 'Wahai Rasulullah, engkau telah mengatakan apa yang kau katakan tadi. Lalu mengapa engkau bersikap ramah kepadanya?' Baginda menjawab, 'Wahai Aisyah, sungguh, sejelek-jelek manusia adalah yang ditinggalkan oleh orang-orang kerana mereka takut terhadap ucapannya yang buruk.' "
( Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad )
9. Al-Hasan bin Ali r.a. meriwayatkan bahawa ia bertanya kepada ayahnya tentang sikap Rasulullah SAW terhadap sahabat-sahabat Baginda.
Maka Ali berkata, maksudnya:
"Rasulullah SAW selalu ceria, berakhlak sederhana, bersikap lemah lembut, tidak kurang ajar dan tidak pula kasar. Baginda tidak suka berbuat gaduh, tidak berlebihan dalam ucapan, tidak pernah berkata kotor, tidak suka mencela, serta tidak kikir. Jika menginginkan sesuatu, Baginda akan dengan mudah melupakannya dan tidak pernah membuat orang lain berputus asa atau terbebani untuk memperolehnya. Baginda menjaga dirinya dari 3 hal: berdebat, menyombongkan diri dan melakukan perbuatan yang tidak bermanfaat. Terhadap orang lain, Baginda pantang melakukan 3 hal: mencela, mengejek dan mencari-cari kesalahan. Baginda tidak pernah berbicara kecuali sesuatu yang boleh mendatangkan pahala. Ketika Baginda berbicara, orang-orang menyimak dan menundukkan kepala seakan-akan di atas kepala mereka ada burung. Setelah Baginda selesai berbicara, barulah mereka berbicara. Mereka juga tidak pernah berdebat tentang apa pun di hadapan Baginda. Dan jika ada seseorang berbicara dengan Baginda, maka orang-orang lain diam hingga perbicaraan itu selesai. Ucapan mereka bagi Baginda merupakan ucapan paling pertama. Baginda menertawakan apa yang mereka tertawakan dan menyukai apa yang mereka sukai. Baginda selalu bersabar menghadapi orang asing yang berbicara dan bertanya kepada Baginda dengan kasar. Para sahabat juga mendatangi orang-orang asing itu. Baginda juga pernah bersabda, 'Jika kalian menemukan orang yang berusaha memperoleh bantuannya, maka bantulah dia.' Baginda tidak pernah mahu menerima pujian kecuali dari orang yang juga mahu beliau puji. Tidak pernah Baginda memotong perbicaraan orang lain hingga orang itu selesai. Kalau pun Baginda hendak memotongnya, maka Baginda menahan pembicaraan atau berdiri."
( Riwayat Tirmidzi )
10. Rasulullah tidak pernah menghampakan permintaan orang.
Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Tidak pernah ada permintaan kepada Rasulullah SAW yang Baginda jawab dengan, 'Tidak.' "
( Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim dan Baghawi )
11. Rasulullah orang yang paling banyak membuat kebaikan.
Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Rasulullah SAW adalah orang yang paling banyak berbuat kebaikan. Tetapi puncak kemurahan hati Baginda terjadi pada bulan Ramadhan hingga bulan itu berakhir. Pada bulan itu, Jibril datang kepada Baginda, sehingga Rasulullah SAW boleh memperdengarkan Al-Quran kepadanya. Dan ketika Jibril menemui Baginda, sungguh, Rasulullah SAW berbuat kebaikan lebih banyak daripada angin yang berembus kencang."
( Riwayat Bukhari, Muslim, Nasa'i, Ahmad, Baghawi dan Ibnu Sa'd )
12. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Nabi SAW tidak pernah menyimpan sesuatu pun untuk esok hari."
( Riwayat Tirmidzi, Baghawi dan Ibnu Hibban )
13. Umar bin Khathab r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Seseorang datang kepada Rasulullah SAW, meminta agar Baginda memberinya sesuatu. Nabi SAW bersabda, 'Aku tidak memiliki apa-apa. Namun belilah barang itu atas namaku ( dengan berhutang ). Jika aku mendapat sesuatu, maka aku pun akan membayarnya.' Mendengar hal itu, Umar berkata, 'Wahai Rasulullah, engkau telah memberinya. Allah tidak mewajibkan atasmu sesuatu yang engkau tidak mampu melakukannya.' Rasulullah SAW dilihat tidak senang mendengar ucapan Umar itu. Maka seseorang dari golongan Ansar berkata, 'Wahai Rasulullah, berinfaklah dan janganlah engkau khuatir Allah, pemilik Arasy, akan mengurangi hartamu.' Rasulullah SAW pun tersenyum mendengar hal itu. Baginda tampak senang dengan perkataan orang Ansar tadi. Baginda bersabda, 'Seperti itulah aku diperintahkan.' "
( Riwayat Tirmidzi )
14. Rasulullah membalas kebaikan seseorang.
Rubayyi' binti Mu'awwidz bin Afra' r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Saya mendatangi Rasulullah SAW dengan membawa sekeranjang kurma yang matang dan mentimun yang berbulu. Lalu Baginda memberikan kepada saya segenggam perhiasan dan emas."
( Riwayat Tirmidzi dan Ahmad )
15. Aisyah r.a. meriwayatkan, maksudnya:
"Rasulullah SAW menerima hadiah dan membalas pemberian itu ( dengan hadiah yang setara atau yang lebih berharga )."
( Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Daud dan Ahmad )
Begitulah agungnya Baginda, Nabi Muhammad SAW dalam akhlaknya. Akhlak Baginda yang sungguh terpuji itu tidak sesiapa yang mampu menandinginya.Baginda sentiasa berbuat baik terhadap orang lain dan tidak pernah menyakiti orang lain. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghayati hadis-hadis tersebut dan mencuba untuk mencontohi akhlak Baginda. Wallahu'alam.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
"Hadis tersebut dipetik dari buku Syamail Muhammad SAW, terbitan Telaga Biru"
http://srikandislambicarakita.blogspot.com/2011/12/andainya-rasulullah-datang-ke-rumah.html
ReplyDeleteSyukran ya ukhti...
ReplyDelete