Golongan Syiah

Assalamualaikum...



Fahaman Syiah ini sebenarnya telah berpecah kepada 22 golongan. Namun, di sini ana hanya akan menerangkan 6 golongan yang terbesar dalam aliran Syiah ini. Di antara golongan-golongan Syiah tersebut ialah:


1. Syiah Sabaiyah, iaitu Syiah pengikut Abdullah bin Saba'. Golongan Syiah ini termasuk dalam golongan Syiah yang 'gullat' yang bermaksud Syiah yang keterlaluan. Mereka secara berlebih-lebihan mempercayai bahawa Nabi Muhammad akan kembali ke dunia sepertimana Nabi Isa a.s., mempercayai bahawa Saidina Ali belum mati tetapi bersembunyi dan akan lahir ke dunia kembali, mempercayai bahawa Jibril tersalah menurunkan wahyu yang seharusnya diturunkan kepada Saidina Ali tetapi diberikannya kepada Nabi Muhammad SAW, mempercayai bahawa petir dan kilat adalah suara Saidina Ali dan bermacam-macam lagi i'itiqad yang ganjil-ganjil.


2. Syiah Kaisaniah, iaitu Syiah pengikut Mukhtar bin Ubai As-Saqafi. Golongan ini tidak mempercayai bahawa adanya roh Tuhan dalam tubuh Saidina Ali tetapi mereka meyakini bahawa imam-imam orang Syiah adalah maksum ( yakni terpelihara daripada dosa seperti para nabi ) dan masih menerima wahyu.


3. Syiah Imamiyah, iaitu Syiah yang percaya kepada imam-imam yang ditunjuk secara langsung oleh Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Ali sampai 12 orang keturunannya. Syiah inilah yang sedang berkuasa di Iran. Mereka mempercayai 12 imam ini, pertama Saidina Ali dan yang ke-12 adalah Al-Mahdi iaitu seorang imam yang lenyap dan akan keluar pada akhir zaman. Said Jamaluddin Al-Afgani, guru Muhammad Abduh adalah salah seorang penganut fahaman Syiah Imamiyah dari Parsi ( sekarang Iran ) ini.


4. Syiah Isma'iliyyah, iaitu Syiah yang mempercayai hanya 7 orang sahaja imam, iaitu pertama Saidina Ali dan akhirnya Ismail bin Jafar As-Saddik yang lenyap dan akan keluar pada akhir zaman. Syiah ini banyak terdapat di Pakistan, iaitu murid Aga Khan.


5. Syiah Zaidiyah, iaitu Syiah pengikut Imam Zaid bin Ali bin Hussein bin Ali bin Abi Talib ( cucu cicit Nabi Muhammad SAW ). Syiah Zaidiyah ini berada di Yaman. Syiah ini adalah Syiah sederhana dan bukan gulat. Mereka tidak mengkafirkan Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman r.a. tetapi mereka berkeyakinan bahawa Saidina Ali lebih mulia dari Saidina Abu Bakar. Syiah Zaidiyah beri'itiqad bahawa orang Muslim yang melakukan dosa besar, jika mati tanpa sempat bertaubat maka dia adalah kafir dan akan kekal dalam neraka selama-lamanya. Tersebut dalam kitab "Dzuhrul Islam" karangan Ahmad Amin, pada juzuk ke-4, halaman 136-137 yang bertulis: "Imam Kaum Zaidiyah Zaid bin Ali adalah murid kepada Washil bin Atha, pemimpin kaum Muktazilah dalam usuluddin. Oleh sebab itu, Syiah Zaidiyah lebih mendekati dengan fahaman Muktazilah. Menurut Syharstani, semua murid Zaid adalah Muktazilah. Pengikut Syiah Zaidiyah banyak mengarang kitab Usuluddin, Hadis dan Feqah yang khusus bagi mereka. Salah seorang imamnya yang masyhur dalam abad mutaakhir ialah Imam Syaukani yang banyak mengarang dalam usuluddin dan feqah." Imam Syaukani ini adalah Muhammad bin Ali bin Muhammad As-Syaukani yang meninggal pada 1255H, iaitu pengarang kitab "Nailul Authar". Oleh itu, berhati-hatilah membaca kitab tersebut kerana pengarangnya adalah pengikut Syiah Zaidiyah.


6. Syiah Qaramithah, iaitu Syiah yang suka mentafsirkan Al-Quran sesuka hatinya. Mereka mengatakan bahawa malaikat-malaikat adalah mubaligh mereka, syaitan-syaitan adalah musuh mereka, yang dinamakan sembahyang ialah mengikut fahaman mereka, yang dinamakan haji ialah ziarah kepada imam, yang dinamakan puasa ialah tidak membuka rahsia imam dan orang-orang yang telah mengetahui Allah sedalam-dalamnya tidak perlu sembahyang, puasa dan lain-lain ibadat serta bermacam-macam fatwa lagi yang ganjil.


Wallahu'alam.
Wassalamualaikum...



Written by

0 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...